Sarawak Sapu Bersih Podium di Junior Innovate 2025, Tema ‘Game for Change: Peace and Justice’
PENANG: Sarawak sekali lagi membuktikan keupayaannya sebagai peneraju pembangunan bakat digital negara apabila menyapu bersih ketiga-tiga tempat teratas di Pertandingan Akhir Kebangsaan Junior Innovate 2025, sempena Pesta Sains Antarabangsa Pulau Pinang (PISF).
Bertemakan “Game for Change: Peace and Justice” (SDG 16), pasukan pelajar dari Sarawak tampil cemerlang dengan rekaan permainan digital yang bukan sahaja menunjukkan kemahiran teknikal tinggi dalam reka bentuk permainan dan pengaturcaraan (coding), tetapi juga menonjolkan nilai kemanusiaan, empati dan keadilan sosial.
Kejayaan itu diterajui oleh pasukan KJ Sparkle Sisters dari SJK(C) Chung Hua Krokop, Miri yang dinobatkan sebagai Juara, diikuti pasukan Soprano dari SJK(C) Chung Hua No.4, Kuching sebagai Naib Juara Pertama dan pasukan Justice League juga dari SJK(C) Chung Hua Krokop, Miri sebagai Naib Juara Kedua.
Pertandingan yang berlangsung selama enam bulan sejak Mei lalu melibatkan pelbagai inisiatif seperti bengkel Train-the-Trainer, pameran Maker Fair daerah, webinar dan bimbingan berterusan menerusi platform pembelajaran Chumbaka.
Melalui program ini, pelajar Sarawak bukan sahaja menguasai kemahiran pengaturcaraan menggunakan Scratch dan Python, malah turut mengintegrasikan elemen kecerdasan buatan (AI) dalam permainan mereka.
Menurut Pengurus Kanan TEGAS, Syukri Arabi, merangkap juri peringkat kebangsaan, kejayaan tersebut membuktikan keupayaan pelajar Sarawak bersaing di peringkat nasional.
“Melihat pelajar Sarawak mencapai kejayaan di pentas kebangsaan amat membanggakan. Projek mereka bukan sahaja menunjukkan kemahiran teknikal, tetapi juga empati dan keupayaan menyampaikan idea yang memberi makna,” katanya dalam satu kenyataan media, baru-baru ini.
Sementara itu, guru pembimbing Cikgu Kong Siong Bing dari SJK(C) Chung Hua Krokop, Miri, menyifatkan pengalaman itu memberi impak besar terhadap pembangunan sahsiah pelajar.
“Kami amat berterima kasih kepada MEITD, SDEC dan Chumbaka atas platform ini. Melihat pelajar kami berkembang dari segi keyakinan diri, kerjasama dan kepimpinan adalah ganjaran sebenar bagi kami sebagai pendidik,” ujarnya.
Kejayaan Sarawak di peringkat kebangsaan ini turut mencerminkan kejayaan pelaksanaan Strategi Pembangunan Pasca-COVID (PCDS) dan agenda Digital Sarawak dalam memperluas literasi digital serta membina ekosistem bakat tempatan.
Sokongan padu daripada Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat (MEITD) serta SDEC membolehkan sekolah-sekolah di seluruh negeri mendapat akses kepada teknologi dan pusat pembelajaran yang memupuk kemahiran abad ke-21.
Selain kejayaan di podium, penganjur menegaskan bahawa legasi sebenar pertandingan ini ialah lahirnya generasi pelajar Sarawak yang bukan sahaja mahir dalam STEM, reka bentuk permainan dan AI, tetapi juga memiliki kemahiran insaniah untuk memimpin dan berbakti kepada masyarakat.-EDISI UKAS