PDRM Perlu Kuasai AI & Teknologi Digital Untuk Kekal Relevan
BINTULU: Penguasaan dalam bidang digital dan kecerdasan buatan (AI) kini menjadi teras utama kepada transformasi pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi memperkukuh kecekapan serta memastikan organisasi itu kekal relevan dengan keperluan semasa.
Ketua Polis Daerah Bintulu, Superintenden Nixon Joshua Ali berkata, perkembangan teknologi yang pesat menuntut seluruh warga pasukan agar berfikiran terbuka dan sentiasa bersedia menyesuaikan diri dengan perubahan era digital.
“Dalam menghadapi arus kemajuan teknologi yang pesat, kita perlu berfikiran terbuka serta mempersiapkan diri dengan ilmu pengetahuan dan kemahiran dalam bidang digital serta kecerdasan buatan (AI),” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bintulu bagi bulan November di sini, pada Selasa.
Menurut beliau, kecekapan dalam bidang digital bukan lagi satu pilihan tetapi satu keperluan strategik untuk memastikan PDRM terus berdaya saing, mampu memberikan perkhidmatan yang cekap serta responsif terhadap cabaran keselamatan moden.
“Penguasaan teknologi bukan sekadar mempercepat urusan, tetapi memastikan perkhidmatan kita lebih telus, efisien dan berkesan,” jelasnya.
Beliau turut menegaskan bahawa pendekatan kerja berasaskan data dan analitik pintar perlu terus diperkukuh bagi memastikan penyampaian perkhidmatan kepada masyarakat mencapai tahap optimum.
“Pendekatan kerja yang sistematik, efisien dan berasaskan data akan memastikan PDRM berada di landasan betul untuk mencapai standard penyampaian perkhidmatan terbaik,” ujarnya.
Beliau menyeru seluruh warga IPD Bintulu agar terus menimba ilmu, memanfaatkan teknologi baharu dan menyesuaikan diri dengan perubahan, selaras aspirasi pucuk pimpinan ke arah transformasi digital negara.
Beliau turut menegaskan bahawa kekuatan organisasi bukan hanya terletak pada penggunaan teknologi semata-mata, tetapi juga pada nilai integriti, profesionalisme dan semangat kerja berpasukan yang kukuh dalam kalangan warga pasukan.
Majlis tersebut turut menyaksikan penyampaian surat penghargaan dan kenaikan pangkat kepada beberapa pegawai serta anggota IPD Bintulu sebagai pengiktirafan terhadap dedikasi dan prestasi cemerlang mereka sepanjang tahun ini.
Antara yang menerima kenaikan pangkat ialah Sarjan Mattius Tujoh, Sarjan Ramzul Rambli, Sarjan Haszaman Ibrahim, Sarjan Peter Empeni dan Sarjan Mohd Asman Gemurang, manakala penerima Surat Penghargaan Ketua Polis Daerah termasuk Inspektor Akbal Singh Sandhu, Sarjan Mejar Wan Bait Wan Sohor, Koperal Sharim Saat, Koperal Mohamad Zamri Aton dan Konstabel Muhammad Zikri Mohd Hamdan Loong.-EDISI UKAS