Sarawak Tonjol Peranan Peneraju Pertanian Lestari Borneo Di Persidangan Iklim Belem
BELÉM: Sarawak terus mengukuhkan kedudukannya sebagai peneraju pertanian lestari di rantau Borneo apabila memperkenalkan Sarawak Sustainability Blueprint 2030 dalam Sidang Kemuncak Iklim Belém (COP30) di Brazil.
Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Sarawak, Datuk Dr Hazland Abang Hipni, ketika berucap pada Panel Sains untuk Borneo, menegaskan bahawa pelan hala tuju tersebut menjadi panduan utama bagi menjadikan Sarawak sebagai model pembangunan hijau yang seimbang antara kemajuan ekonomi, pemuliharaan alam sekitar dan kesejahteraan sosial
“Pendekatan Sarawak bukan sekadar meningkatkan hasil pertanian, tetapi mentakrifkan semula erti kelestarian yang merangkumi penyertaan komuniti pribumi, pengetahuan tradisional, serta inovasi saintifik dalam sistem pertanian moden,” katanya ketika menyampaikan ucapan bertajuk The Sarawak Journey, di sini, pada Selasa.
Beliau menekankan empat komponen utama kejayaan transformasi pertanian hijau Sarawak, iaitu insentif adaptasi, pelaburan kewangan dan sokongan dasar, pembangunan rantaian nilai dan pasaran serta pembinaan kapasiti kemahiran tempatan.
Antara tumpuan utama ialah penyediaan insentif kewangan kepada pekebun kecil yang mengamalkan pertanian regeneratif, pelaksanaan kerjasama awam-swasta bagi memacu pelaburan hijau dan usaha membangunkan pasaran yang memberi ganjaran kepada produk lestari melalui pensijilan dan perdagangan adil.
Dalam konteks pengurusan hutan, Datuk Dr Hazland berkata, Pengurusan Hutan Lestari (SFM) kekal sebagai teras strategi iklim negeri dengan sasaran 200,000 hektar kawasan dipulihkan menjelang 2030, termasuk pemulihan tanah gambut dan peluasan kawasan perlindungan sepenuhnya (Totally Protected Areas) serta Permanent Forests.
Beliau turut menekankan kepentingan integrasi pengetahuan pribumi dan penyelidikan saintifik dalam memperkukuh daya tahan sistem pertanian terhadap perubahan iklim.
“Komuniti pribumi di Borneo telah lama mengamalkan sistem agroforestri dan kepelbagaian tanaman tempatan yang menyokong keselamatan makanan serta biodiversiti. Kini, sains moden membantu menilai dan memperkasa amalan ini agar lebih berdaya tahan dan produktif,” katanya.
Sarawak melalui Sarawak Biodiversity Centre (SBC) turut bekerjasama dengan komuniti pribumi untuk mendokumentasikan pengetahuan tradisional dalam bioprospeksi dan inovasi pertanian hijau.
Tambah beliau, pelan pembangunan pasca COVID-19 (PCDS) 2030 dan Sustainability Blueprint 2030 menyediakan 111 pelan tindakan untuk mengimbangi pertumbuhan ekonomi dengan kelestarian alam, termasuk sasaran melahirkan 500 petani berkemahiran menjelang 2030.-EDISI UKAS