Kebajikan Warga Emas Terus Diperkukuh Melalui Inisiatif SCHB
SIBU: Kerajaan Sarawak terus memperkukuh agenda kebajikan rakyat dengan memastikan kesejahteraan warga emas di wilayah ini terjamin menerusi pelaksanaan pelbagai inisiatif berimpak tinggi, termasuk Senior Citizen Health Benefit (SCHB) yang dikendalikan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Sarawak.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Koperat, Penerangan dan UKAS), Datuk Abdullah Saidol berkata, inisiatif berkenaan memberi peluang kepada warga emas menikmati kemudahan rawatan pesakit luar secara tanpa tunai dengan had maksimum RM500 setahun bagi setiap penerima, sekali gus mencerminkan keprihatinan kerajaan Sarawak terhadap kesihatan dan kesejahteraan golongan berusia.
Menurut beliau, sebanyak RM50 juta telah diperuntukkan bagi pelaksanaan program berkenaan sebagai sebahagian daripada usaha memastikan rakyat Sarawak berusia 60 tahun ke atas terus mendapat akses kepada perkhidmatan kesihatan yang lebih baik dan menyeluruh.
“Ketika ini, Sarawak mencatatkan kira-kira 14 peratus penduduk berumur 60 tahun ke atas, angka kedua tertinggi di Malaysia selepas Perak yang merekodkan 15.3 peratus, dan jauh melebihi purata kebangsaan sekitar 12 peratus.
“Malah, berdasarkan kajian Institut Penyelidikan Penuaan Malaysia Universiti Putra Malaysia, Sarawak dijangka menjadi wilayah menua lebih awal menjelang 2028 dengan 16 peratus penduduk terdiri daripada warga emas,”katanya ketika berucap menyempurnakan Majlis Penangguhan Program Demi Rakyat: SCHB Peringkat Zon Tengah, di sini pada Rabu.
Tambah Datuk Abdullah, perkembangan ini menunjukkan bahawa isu penuaan penduduk bukan lagi perkara yang boleh dipandang ringan.
“Sebagai contoh, daerah Lubok Antu kini mencatatkan peratusan warga tua tertinggi di Malaysia pada 15.7 peratus, manakala Subis di Miri turut dikategorikan sebagai daerah menua baharu selepas jumlah penduduk berusia 65 tahun ke atas mencecah tujuh peratus tahun ini.
“Situasi berkenaan memberi isyarat jelas bahawa kerajaan perlu bersedia dengan dasar serta pelan tindakan jangka panjang bagi memastikan kesejahteraan golongan warga emas terus terpelihara,”tegas beliau.
Program Demi Rakyat: SCHB anjuran Unit Komunikadi Awam Sarawak (UKAS) ini merupakan penutup siri program bagi 2025, selepas penganjuran di Zon Utara pada September lalu dan Zon Selatan pada Oktober lepas.
Hadir sama ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ngemah Anyi Jana, ADUN Balingian Abdul Yaakub Arbi, Timbalan Pengarah UKAS Mohamed Faizal Shah Ali serta wakil Pejabat Kebajikan Masyarakat Bahagian Sibu Puan Uwirng Gimos.-EDISI UKAS