Sarawak Tawar Peluang Pendidikan Kepada Anak Islam Kepulauan Pasifik
SEOUL: Kerajaan Sarawak menawarkan bantuan kepada anak-anak Islam dari Kepulauan Pasifik untuk mendapatkan pendidikan dengan melanjutkan pelajaran di sekolah Islam antarabangsa di negeri ini.
Premier Sarawak merangkap Presiden Majlis Dakwah Islam Asia Tenggara dan Pasifik (RISEAP), Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, inisiatif tersebut merupakan usaha Sarawak untuk membantu negara anggota lain dalam memperkasakan masyarakat Islam di rantau masing-masing.
“Saya telah memberi maklum kepada RISEAP Executive Committee bahawa kita di Sarawak telah menubuhkan sekolah antarabangsa Islam.
“Dan kita akan memberi peluang kepada anak Islam di pulau-pulau Pasifik di mana ada kekurangan pendidikan di kawasan tersebut untuk belajar di Sarawak, di sekolah-sekolah kita.
“Ia akan merapatkan lagi hubungan di antara masyarakat di kawasan RISEAP dan negara-negara tersebut,” katanya ketika ditemuramah Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) dan TVS selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif RISEAP Ke-36 di sini pada Rabu.
Tambah Premier, inisitiaf sama pernah dilaksanakan oleh Malaysia dalam membantu masyarakat Islam di Bosnia.
Jelasnya, pendekatan dilaksanakan RISEAP ini juga selari dengan konsep dakwah ‘Bil Hal’ yang memberi tumpuan memperkasakan ummah sejagat.
“Sebab itu, dengan keadaan sosioekonominya yang masih lagi rendah, maka kita rasa adalah menjadi satu daripada ibadah kita untuk memberi ruang kepada dua, tiga orang ataupun 10 orang belajar di sekolah Islam antarabangsa, sebagai ‘residential scholar’, sampailah ke peringkat tinggi.
“Akhirnya mereka akan balik ke negara asal untuk menyumbang balik kepada negara mereka,” tambah Premier lagi.
Terdahulu dalam mesyuarat tersebut, beliau memaklumkan RISEAP telah menerima beberapa laporan mengenai kegiatan yang dijalankan oleh negara-negara anggota.
Hadir sama Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Penyelaras Projek untuk Agensi Pembangunan Wilayah, DBKU dan Hal Ehwal Islam) Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi, Timbalan Menteri Ekonomi Dato Hanifah Hajar Taib, Setiausaha Kehormat RISEAP Dato' Mohamad Marzuki Mohamad Omar, Yang Dipertua Majlis Islam Sarawak Datuk Misnu Taha, Mufti Sarawak Datuk Kipli Yasin serta Exco RISEAP yang lain. - EDISI UKAS
Laporan oleh: Harry Ilias
Jurugambar: Ameerul Syafiq Khir