KUCHING: Penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) dalam sektor kesihatan mampu menjadi pemangkin utama dalam menangani isu kekurangan tenaga perubatan di Sarawak, sekali gus meningkatkan kecekapan perkhidmatan hospital dan klinik negeri ini.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Profesor Dr. Sim Kui Hian berkata, AI mempunyai potensi besar dalam membantu kerja-kerja perubatan, terutama dalam diagnosis, rawatan kecemasan dan pemantauan kesihatan pesakit, di samping menjimatkan kos operasi jangka panjang.
“Di Sarawak, kita menghadapi kekurangan lebih 1,000 doktor di hospital kerajaan. Walaupun Kementerian Kesihatan menghantar 650 doktor dari Kuala Lumpur sejak Oktober, hanya 66 peratus yang melapor diri ke Sarawak. Jadi, AI boleh membantu mengurangkan beban ini dengan mempercepatkan proses diagnosis dan rawatan,” jelasnya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas menghadiri program SwinTalk: AI Driven Futures di Swinburne University of Technology Sarawak di sini, pada Rabu.
Menurut Datuk Amar Prof Dr. Sim, AI berupaya meningkatkan produktiviti dan keberkesanan kerja kakitangan kesihatan, contohnya tiga pekerja boleh digantikan dengan satu sistem AI yang berfungsi secara automatik, sekali gus membolehkan sumber manusia digunakan dengan lebih strategik.
Beliau turut berkongsi bahawa projek perintis penggunaan doktor AI akan dilaksanakan di Miri bulan hadapan melalui kerjasama Fudan Institute of Integrative Medicine, sebuah inisiatif peribadi yang menggunakan teknologi dari China.
“Ini kali pertama teknologi doktor AI seperti ini digunakan di luar China, dan kami berterima kasih atas perkongsian ilmu tersebut. Saya sendiri ingin meninjau bagaimana sistem ini berfungsi kerana kadangkala AI juga perlu dinilai dari segi ketepatan dan keselamatannya,” katanya.
Dalam pada itu, Datuk Amar Prof Dr. Sim turut menekankan keperluan kepada kesinambungan dasar kesihatan antara Kerajaan Sarawak dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di bawah konsep Autonomi Kesihatan Sarawak, supaya pengurusan hospital, klinik dan sumber manusia dapat dijalankan secara lebih tersusun tanpa gangguan akibat perubahan pentadbiran di peringkat persekutuan.
“Setiap kali ada perubahan Ketua Pengarah atau Ketua Setiausaha, banyak perkara perlu dimulakan semula. Kita harap dasar ini dapat dikekalkan agar Sarawak dapat mengurus sistem kesihatan sendiri dengan lebih berkesan,” ujarnya.
Beliau turut mengakui bahawa kekangan tenaga kerja kesihatan menyebabkan doktor dan jururawat di Sarawak terpaksa bekerja dalam tekanan tinggi, namun yakin integrasi teknologi AI akan menjadi sebahagian daripada penyelesaian jangka panjang bagi memastikan akses kesihatan berkualiti untuk semua rakyat Sarawak.-EDISI UKAS
Disediakan oleh : Maryam Zanariah Ibrahim
Foto : Hazrin