Sumbangan Peralatan Perubatan Perkukuh Perkhidmatan Klinik Kesihatan Bario
BARIO: Klinik Kesihatan Bario kini dilengkapi dengan peralatan perubatan baharu hasil sumbangan seorang dermawan atas inisiatif dan keprihatinan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mulu, Datuk Gerawat Gala, bagi memperkukuh mutu perkhidmatan kesihatan kepada penduduk setempat.
Sumbangan bernilai RM78,500 itu terdiri daripada satu unit mesin defibrillator bernilai RM23,500 dan seunit mesin ultrasound bernilai RM55,000 bagi menyokong usaha mempertingkatkan kecekapan perkhidmatan kesihatan bercorak penggalakan, pencegahan, rawatan dan pemulihan di kawasan pedalaman.
Menurut Datuk Gerawat, kemudahan tersebut akan memberi manfaat besar kepada masyarakat Bario, khususnya dalam menangani kes kecemasan dan penjagaan kesihatan ibu mengandung.
“Peralatan ini amat penting bagi membantu petugas kesihatan menjalankan tugas dengan lebih cekap, sama ada dalam situasi kecemasan atau pemeriksaan rutin, demi memastikan kesejahteraan rakyat di kawasan ini terus terpelihara,” katanya semasa majlis penyerahan sumbangan di Klinik Kesihatan Bario, pada Rabu.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada pihak dermawan atas keprihatinan dan sokongan terhadap usaha meningkatkan fasiliti kesihatan di kawasan luar bandar.
Turut hadir, Pegawai Kesihatan Bahagian Miri, Dr. P. Raviwharmman A/L Packierisamy, Ketua Pakar Perubatan Keluarga Bahagian Miri, Dr. Maurice Steve Utap, serta kakitangan Klinik Kesihatan Bario.-EDISI UKAS