Datuk Dr Abdul Rahman Sedia Galas Tugas Sebagai Timbalan Presiden RISEAP
SEOUL: Timbalan Presiden Majlis Dakwah Islam Asia Tenggara dan Pasifik (RISEAP) yang baharu, Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi bersedia melaksanakan tugas yang diamanahkan kepada beliau dengan sebaik mungkin.
Beliau yang merupakan Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Penyelaras Projek untuk Agensi Pembangunan Wilayah, Dewan Bandaraya Kuching Utara dan Hal Ehwal Islam) bersedia membantu Premier Sarawak yang juga Presiden RISEAP Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg serta Exco badan itu dalam memperkasa kemajuan umat Islam serantau.
“Saya ingin mengucapkan setinggi penghargaan kepada YAB Premier yang telah memberikan kepercayaan kepada saya untuk menjawat jawatan Timbalan Presiden RISEAP pada Mesyuarat Exco Ke-36 yang telah diadakan di Bandaraya Seoul, Korea Selatan pada hari ini.
“Saya akan menjalankan tugas dengan sebaik mungkin, dengan sedaya upaya saya membantu YAB Premier selaku Presiden RISEAP bersama dengan Naib-naib Presiden serta Ahli Exco RISEAP yang sedia ada,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemuramah Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) dan TVS selepas menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif RISEAP Ke-36 di sini pada Rabu.
Katanya, RISEAP yang dianggotai 24 negara telah memainkan peranan penting dalam membantu masyarakat Islam di negara-negara anggota badan itu.
Menurut beliau, Sarawak sebagai salah satu anggota badan itu turut menyumbang dalam membantu negara anggota lain melalui penubuhan Tabung Baitulmal di New Zealand dan Hong Kong.
Pelantikan Datuk Dr Abdul Rahman susulan peletakan jawatan mantan Timbalan Presiden RISEAP, Ridzuan Wu dari Singapura, atas faktor kesihatan.
Beliau akan menggalas jawatan itu sehingga Mesyuarat Agung RISEAP yang dijadualkan pada pertengahan tahun 2026.
Mendedah perkara lain, beliau berkata proses ubah suai ibu pejabat RISEAP Kuching yang terletak Jalan Budaya dijangka siap sepenuhnya tidak lama lagi dan mula beroperasi pada Januari tahun depan.
“Kerajaan Sarawak menyediakan sebuah bangunan lama berusia lebih 90 tahun, terletak di Jalan Budaya yang kini dalam proses pengubahsuaian sejak lapan bulan lepas.
“Ia akan siap pada bulan Januari tahun depan untuk dijadikan ibu pejabat RISEAP yang bertempat di Kuching,” katanya.
Menurutnya, apabila siap semua aktiviti RISEAP akan dilaksanakan di bangunan tersebut.
“Apa yang menariknya rumah ini, di hadapannya akan didirikan 24 batang tiang bendera menandakan 24 negara anggota RISEAP.
“Secara tidak langsung, ini akan menjadi salah satu lagi lokasi tarikan kepada masyarakat dan pelawat-pelawat,” katanya lagi. - EDISI UKAS