SPANS & Majlis Daerah Sarikei Perkukuh Kerjasama Tingkat Tadbir Urus & Kecekapan Perkhidmatan Awam
SARIKEI: Lawatan kerja Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Negeri Sarawak (SPANS) ke Majlis Daerah Sarikei (MDS) telah memperkukuh kerjasama erat antara kedua-dua pihak dalam usaha meningkatkan tadbir urus dan penyampaian perkhidmatan awam di peringkat tempatan.
Lawatan berkenaan diketuai Pengerusi SPANS, Datu Kameri Affandi bersama Ahli-ahli Suruhanjaya serta Kumpulan Pengurusan SPANS di Pusat Pentadbiran Kerajaan Sarawak Bahagian Sarikei, pada Rabu.
Menurut Datu Kameri, SPANS sentiasa berusaha memastikan penjawat awam di semua peringkat, termasuk pihak berkuasa tempatan, diberi sokongan dan panduan yang tepat dalam meningkatkan profesionalisme serta keberkesanan tugas.
“SPANS bukan hanya menilai, tetapi juga membantu jabatan dan agensi kerajaan termasuk majlis daerah menambah baik kecekapan serta integriti dalam perkhidmatan kepada rakyat,” ujarnya.
Program berkenaan turut menjadi platform untuk bertukar pandangan dan cadangan penambahbaikan, termasuk langkah mempertingkatkan sistem penyampaian perkhidmatan agar lebih efisien dan responsif terhadap keperluan masyarakat setempat.
Majlis turut menyaksikan pertukaran cenderamata sebagai simbol penghargaan dan jalinan kerjasama berterusan antara kedua-dua pihak.-EDISI UKAS