ADUN Tebedu Saksikan Penyerahan Lima Projek Siap RTP Bernilai RM590,000
TEBEDU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tebedu Dr Simon Sinang Bada menyaksikan majlis penyerahan lima projek siap di bawah Projek Program Transformasi Luar Bandar (RTP) bagi kawasan Tebedu yang keseluruhannya bernilai RM590,000.
Majlis penyerahan dan lawatan tapak tersebut melibatkan beberapa lokasi termasuk Kampung Payau Burus, Kampung Lobang Batu Mawang, SK Daha Kisau, Kampung Tebedu Bung Padus dan Kampung Tebedu Mawang.
Antara projek yang telah siap dan diserahkan secara rasmi daripada pihak kontraktor kepada wakil komuniti ialah naik taraf Dewan Kampung Payau Burus, naik taraf Dewan Kampung Lobang Batu Mawang, kerja-kerja baik pulih kuarters guru SK Daha, naik taraf jalan kaki dan tempat mandi di Kampung Tebedu Bung Padus, serta pembinaan laluan pejalan kaki di Kampung Tebedu Mawang.
Dalam ucapannya, Dr. Simon menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat termasuk kontraktor, agensi pelaksana dan kepimpinan kampung atas kerjasama dalam memastikan pelaksanaan projek berjalan lancar serta memberi manfaat langsung kepada rakyat.
"Pelaksanaan projek di bawah program RTP adalah bukti komitmen kerajaan negeri dalam meningkatkan kemudahan asas dan kesejahteraan rakyat di kawasan luar bandar, selaras dengan agenda pembangunan Sarawak yang inklusif dan mampan," katanya. -EDISI UKAS