Program SCHB Tingkat Kefahaman Awam Terhadap Manfaat Warga Emas
SIBU: Program Senior Citizen Health Benefit (SCHB) mampu meningkatkan kefahaman warga emas akan manfaat yang disediakan oleh kerajaan.
Program hasil inisiatif Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) dan pegawai pusat khidmat wakil rakyat itu merupakan langkah proaktif dalam menyampaikan maklumat serta pendaftaran program kepada masyarakat.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS), Datuk Abdullah Saidol berkata, pegawai pusat khidmat berperanan sebagai penghubung antara wakil rakyat dan masyarakat setempat.
“Wakil rakyat tidak dapat berada di kawasan setiap masa kerana mereka terlibat dalam mesyuarat dan urusan rasmi lain.
“Jadi, pegawai pusat khidmat perlu memahami dasar dan inisiatif kerajaan supaya dapat menjelaskan kepada rakyat,” katanya semasa Majlis Perasmian SCHB Bersama Pusat Khidmat DUN dan Parlimen di sini, pada Rabu.
Beliau menambah, hasil kajian UKAS mendapati masih ada pegawai pusat khidmat yang kurang memahami dasar Kerajaan Sarawak dan manfaat program sedia ada seperti Kenyalang Gold Card, sekali gus menjejaskan perkhidmatan kepada rakyat.
“Sekurang-kurangnya jika mereka faham sedikit sebanyak, pegawai boleh membantu rakyat memahami inisiatif kerajaan,” tegasnya.
Sementara itu, berdasarkan rekod Jabatan Perangkaan Malaysia, Lubok Antu mencatat jumlah warga tua tertinggi di Malaysia dengan 15.7 peratus berumur 60 tahun ke atas, manakala Subis kini menjadi daerah menua baharu dengan tujuh peratus penduduk berusia 65 tahun ke atas.
Malaysia dijangka menjadi negara menua menjelang 2030 dengan 15.3 peratus penduduk berumur 60 tahun ke atas, manakala Sarawak dijangka lebih awal pada 2028.
Program SCHB dikendalikan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Sarawak bagi mendaftarkan warga emas supaya mendapat manfaat daripada pelbagai inisiatif disediakan kerajaan.
UKAS bekerjasama dengan JKM menganjurkan taklimat pendaftaran SCHB bagi meningkatkan kefahaman pegawai pusat khidmat serta menyebarluaskan maklumat kepada masyarakat.
Majlis turut dihadiri Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balingian, Abdul Yakub Arbi, ADUN Ngemah, Anyi Jana, Timbalan Pengarah UKAS, Mohamed Faizal Shah Ali dan penceramah dari JKM Sibu, Uwieng Gimos.-EDISI UKAS