AIFFA 2025: ASEAN UniFest 2025 Perkukuh Bakat Muda & Industri Filem Kreatif
KUCHING: ASEAN UniFest Competition 2025 yang dianjurkan sempena ASEAN International Film Festival & Awards (AIFFA) sekali lagi menjadi platform utama menampilkan bakat pelajar universiti seluruh ASEAN dan memperkukuh peranan Sarawak dalam industri pelancongan kreatif dan filem di peringkat antarabangsa.
Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif & Seni Persembahan Sarawak Datuk Snowdan Lawan berkata, industri kreatif, termasuk filem, menjadi tonggak pembangunan ekonomi negeri, membuka peluang pekerjaan baharu dan memperkukuh pelancongan kreatif.
“Di Sarawak, kementerian kami menyediakan dana bagi mereka yang berminat mempelajari pembuatan filem atau penerbitan.
“Dana ini boleh digunakan untuk mengikuti program sarjana atau bengkel sekali gus melahirkan pengajar filem yang berkebolehan," ujarnya ketika berucap dalam majlis ASEAN UniFest 2025 di The Spring Mall, pada Rabu.
Selain itu, beliau turut memberitahu, pembangunan Performing Arts Centre bernilai RM300 juta yang bakal menjadi salah satu pusat seni persembahan tercanggih di Asia Tenggara mampu menampung pelbagai acara antarabangsa termasuk orkestra, opera dan teater.
“Projek ini bernilai kira-kira RM300 juta. Pusat seni ini akan setaraf Istana Budaya dan merupakan antara yang pertama di Asia Tenggara.
“Ia mampu menganjurkan pelbagai acara antarabangsa dari orkestra, opera hingga teater," katanya.
Datuk Snowdan Lawan turut merakamkan penghargaan kepada penganjur AIFFA dan ASEAN PR Network kerana memberi ruang kepada pelajar menzahirkan pandangan mengenai SDG melalui medium filem.
Majlis turut dihadiri Pengarah Festival AIFFA 2025, Livan Tajang, Pengarah Eksekutif AIFFA 2025, Jaffri Amin dan Shah Sidek, Pengerusi ASEAN UniFest, Andrew Trigg, Timbalan Pengarah Urusan Program Akreditasi dan Sijil ASEAN Public Relations Network, Dr Alexander Mamby Aruan serta para tetamu kehormat dari industri filem, media, peserta ASEAN UniFest dan pelajar universiti.-EDISI UKAS
Disediakan oleh: Betrice Britney Dee
Foto: Shahril Haqim