SEMATAN: Usaha kerajaan Sarawak memperkasa kemudahan asas luar bandar terus diperkukuh dengan pelaksanaan tiga projek pembangunan berimpak tinggi di daerah Lundu, melibatkan pembinaan jambatan baharu dan naik taraf sistem paip graviti di tiga kampung.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Opar Billy Sujang berkata, projek-projek berkenaan merupakan sebahagian daripada komitmen berterusan kerajaan negeri dalam memastikan masyarakat luar bandar menikmati kemudahan yang lebih selesa, selamat dan berkualiti.
Menurutnya, pembinaan jambatan konkrit baharu di Kampung Sebako 2 bernilai RM7 juta telah bermula pada 7 November lalu dan dijangka siap sepenuhnya pada 6 November 2026.
“Jambatan ini bakal memberi impak besar kepada penduduk setempat kerana ia akan memudahkan urusan ke kebun dan ladang, selain meningkatkan keselamatan serta kelancaran hubungan antara kampung,” katanya semasa majlis penyerahan tapak projek tersebut, di sini pada Rabu.
Tambah beliau, selepas jambatan siap kelak, beberapa jalan pertanian baharu juga akan dibina bagi membantu penduduk mengangkut hasil pertanian ke pusat pemasaran.
Dalam pada itu, Billy turut menyerahkan projek siap naik taraf sistem paip graviti di Kampung Sebako 1 dan 2 bernilai RM688,850, yang telah dilaksanakan dari 17 Mac hingga 16 September 2025.
Projek ini berjaya meningkatkan kualiti bekalan air bersih untuk penduduk, termasuk guru dan pelajar SK Sebako.
Beliau turut menyempurnakan projek naik taraf sistem paip graviti Kampung Jantan Fasa 1 bernilai RM450,000, yang dilaksanakan dari 28 Julai hingga 27 Oktober 2025.
Fasa kedua projek berkenaan akan diteruskan tidak lama lagi dengan tambahan peruntukan RM150,000 bagi memastikan setiap rumah di kampung itu menerima bekalan air yang stabil dan bersih.
Billy berkata, kampung-kampung tersebut sebelum ini menggunakan sistem paip graviti di bawah Program Bekalan Air dan Kebersihan Alam Sekitar (BAKAS) yang dilaksanakan lebih 30 tahun lalu ketika beliau sendiri berkhidmat dalam unit berkenaan.
Beliau menegaskan bahawa kemudahan seperti air bersih, jalan raya dan jambatan yang baik adalah faktor penting dalam meningkatkan taraf hidup serta membuka peluang ekonomi kepada penduduk luar bandar.
Sementara itu, daerah Lundu bakal menerima manfaat dua projek besar bekalan air yang dibiayai sepenuhnya oleh Kerajaan Sarawak iaitu Loji Rawatan Air Baharu Lundu di Kampung Sedaing bernilai RM111.8 juta dan Projek Sambungan Paip Air Terawat Wilayah Lundu–Sematan bernilai RM143.9 juta yang dijangka siap menjelang 2028.-EDISI UKAS