SIBU: Sebanyak 60 unit kit Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) bernilai kira-kira RM1.2 juta sumbangan Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS) akan diedarkan ke sekolah-sekolah di seluruh Sarawak mulai Januari tahun depan.
Perkara itu didedahkan oleh Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Datuk Dr. Annuar Rapaee selepas merasmikan Hari Karnival STEM 2025 di Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Pasai, pada Rabu.
“Kos bagi satu STEM kit adalah sekitar RM20,000 hingga RM25,000 dan setiap kit mengandungi lebih 50 item, termasuk mikroskop dan tiub uji (test tube), yang boleh digunakan untuk aktiviti pembelajaran sains di sekolah.
“Ini merupakan satu permulaan penting bagi memastikan segala keperluan asas dalam bidang sains di sekolah di Sarawak dapat dipenuhi,” katanya ketika ditemui pemberita.
Tambah beliau, kementeriannya kini sedang merangka mekanisme pelaksanaan bagi memastikan pengagihan dan penggunaan Kit STEM dapat diselaras dengan berkesan oleh setiap Pejabat Pendidikan Daerah (PPD).
“Ada PPD di kawasan bandar mungkin kekurangan ruang, jadi kita cadangkan beberapa sekolah tertentu diamanahkan untuk menyimpan dan menyelenggara peralatan ini supaya sekolah lain boleh meminjam bila perlu,” jelasnya.-EDISI UKAS