BINTANGOR: Pesta Meradong 2025 bukan sekadar platform meraikan hasil pertanian daerah ini, malah menjadi pemangkin kepada peningkatan daya saing pekebun tempatan melalui penganjuran Pertandingan Buah-Buahan anjuran Jabatan Pertanian Meradong.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong, Datuk Ding Kuong Hiing berkata, inisiatif tersebut bukan sahaja menyemarakkan sambutan pesta tahunan itu, malah memperkukuh rantaian nilai industri buah-buahan tempatan dengan memberi ruang lebih luas kepada pekebun untuk mengetengahkan hasil berkualiti tinggi.
“Saya berharap para petani akan terus meningkatkan amalan pertanian moden agar buah-buahan tempatan kekal berkualiti tinggi dan berdaya saing,” ujarnya ketika berucap pada majlis berkenaan di Pejabat Pertanian Daerah Meradong, pada Rabu.
Beliau menambah, usaha seumpama ini turut membantu memperluas peluang pasaran dan mempromosikan buah-buahan tempatan, seterusnya meningkatkan pendapatan komuniti pekebun di daerah tersebut.
Pertandingan edisi tahun ini menampilkan empat kategori utama iaitu limau Bintangor, limau madu, limau bali dan anas dengan penilaian melibatkan aspek saiz, bentuk, warna, rasa dan mutu keseluruhan buah bagi memastikan standard kualiti sentiasa dipertingkatkan.
Selain pertandingan, majlis turut diserikan dengan pameran hasil pertanian, jualan produk tempatan serta penyertaan aktif masyarakat setempat yang memeriahkan lagi suasana Pesta Meradong 2025.
Program anjuran Jabatan Pertanian Meradong itu sekali lagi membuktikan komitmen berterusan untuk memperkukuh sektor pertanian melalui pendekatan yang menghargai usaha pekebun, mempromosikan produk tempatan dan menggerakkan ekonomi agro-komuniti. -EDISI UKAS