KUCHING: Inisiatif Kerajaan Sarawak memperkasakan program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) bukan hanya untuk meningkatkan jumlah graduan, tetapi juga bagi membentuk modal insan yang mampu menyesuaikan diri, beretika dan bersedia menyumbang secara bermakna kepada komuniti serta tempat kerja mereka.
Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Dato Sri Roland Sagah Wee Inn berkata, Sarawak sedang giat membuka laluan baharu buat pelajar TVET untuk menyokong pembelajaran mereka sepanjang hayat.
Menurutnya, ini termasuk pengiktirafan kepada jurusan-jurusan TVET, perjanjian Nota Persefahaman (NoU) dan kerjasama jangka panjang bersama pemain industri dan institusi tinggi pembelajaran TVET seperti Sarawak Skills, Pusat Kecemerlangan Teknologi Sarawak (CENTEXS), politeknik, kolej komuni dan sebagainya.
“Kerajaan Sarawak melihat TVET sebagai tonggak penting dalam membangunkan bakat yang diperlukan bagi kemajuan wilayah kita di mana melalui Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030, kita berhasrat untuk mewujudkan tenaga kerja yang cekap dan bersedia menghadapi masa depan.
"Ini sekali gus mampu memenuhi keperluan industri yang berkembang pesat, terutamanya dalam sektor teknologi hijau, automasi, dan ekonomi digital,” ujar beliau.
Beliau berkata demikian menerusi teks ucapan yang dibacakan Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Datuk Francis Harden Hollis sempena Majlis Graduasi Sijil Vokasional Malaysia Kolej Vokasional Kuching Kohort 2023, di sini pada Khamis.
Sehubungan itu katanya, institusi seperti Kolej Vokasional Kuching memainkan peranan penting dalam usaha ini dengan membekalkan belia Sarawak kemahiran, disiplin, dan etika kerja yang tepat.
“Graduan vokasional bukan sahaja pekerja mahir kerana mereka juga merupakan penyumbang penting kepada pertumbuhan industri dan inovasi di Sarawak,” ujarnya lagi.
Untuk rekod, majlis itu menyaksikan seramai 171 graduan Kohort 2023 berjaya menamatkan pengajian menandakan pencapaian signifikan dalam bidang TVET.
Sebagai tanda sokongan, Datuk Francis Harden turut meluluskan dana Projek Kecil Luar Bandar (MRP) beliau sebanyak RM20,000 kepada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Kolej Vokasional Kuching.
Hadir sama, Pengarah Kolej Vokasional Kuching Ts Michael Akien serta tetamu yang lain. -EDISI UKAS