JULAU: Pendidikan merupakan kunci utama dalam membina masa depan yang lebih baik dan sejahtera, terutamanya bagi masyarakat luar bandar.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meluan Dato Rolland Duat Jubin berkata, Kerajaan Sarawak sentiasa menekankan kepentingan pendidikan sebagai asas pembangunan modal insan.
Menurut beliau, Kerajaan Negeri mengambil langkah proaktif dengan melaksanakan pendidikan percuma bermula tahun 2026, khususnya dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).
“Pendidikan bukan sekadar jalan keluar daripada kemiskinan, tetapi juga jambatan menuju kemajuan negeri dan negara.
“Kerajaan komited memastikan semua rakyat, tanpa mengira lokasi, mendapat akses kepada pendidikan berkualiti,” katanya semasa berucap merasmikan Majlis Apresiasi dan Graduasi Sekolah Kebangsaan (SK) Tapang Punggu, Julau, pada Rabu.
Dato Rolland Duat turut menyeru ibu bapa agar memberi tumpuan terhadap pendidikan anak-anak sejak di peringkat awal dan sentiasa bekerjasama dengan pihak sekolah serta Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dalam melahirkan generasi berilmu dan berakhlak mulia.
Majlis turut diserikan dengan penyampaian sijil graduasi, anugerah kecemerlangan, serta persembahan khas oleh murid Tahun 6.
Turut hadir, Guru Besar SK Tapang Punggu Diana Luxury Aloysius Alek, dan Pegawai Pendidikan Daerah Julau Dali Rain.-EDISI UKAS