Perkasa Bahasa Kebangsaan Sebagai Bahasa Mahkamah Syariah
KUCHING: Kerajaan Sarawak akan terus memberikan sokongan penuh terhadap pemerkasaan Bahasa Kebangsaan sebagai bahasa rasmi dalam sistem perundangan syariah selaras dengan usaha memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dan kenegaraan.
Komitmen itu ditegaskan oleh Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan semasa Simposium Pemerkasaan Bahasa Kebangsaan Sebagai Bahasa Mahkamah Syariah di Balai Budaya, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), pada Khamis.
Menurut beliau, dalam sebuah negara berdaulat, bahasa kebangsaan merupakan teras penting yang menjadi wahana pentadbiran, termasuk dalam bidang undang-undang yang menjadi asas sistem keadilan.
“Bahasa Melayu telah lama memainkan peranan sebagai bahasa yang mampu mengungkap pelbagai bidang ilmu, termasuk undang-undang, sejak zaman dahulu hingga era moden,” katanya dalam teks ucapan yang dibacakan oleh Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang dan Perjanjian Sarawak), Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali di simposium tersebut pada Khamis.
Beliau menekankan bahawa pemerkasaan bahasa Melayu dalam sistem keadilan bukan hanya relevan di mahkamah syariah, malah wajar diperluas ke mahkamah sivil.
“Saya sarankan agar satu simposium serupa turut diadakan bagi memperkukuh penggunaan bahasa kebangsaan di mahkamah sivil,” ujarnya.
Simposium ini, katanya, menjadi platform penting menghimpunkan tokoh undang-undang, ahli akademik dan pelajar bagi menyemai kecintaan terhadap bahasa Melayu serta mengukuhkan semangat “megah bahasa” dalam kalangan pengamal undang-undang.
Beliau turut menegaskan bahawa ilmu undang-undang tidak seharusnya bersifat eksklusif kepada pengamalnya sahaja.
“Kita mahu merakyatkan undang-undang dengan menjadikan bahasa kebangsaan sebagai medium utama agar rakyat memahami isu keadilan dengan lebih mudah,” jelasnya.
Kerajaan Sarawak juga ujarnya, melalui beberapa agensi berkaitan termasuk Jabatan Peguam Besar Negeri Sarawak, Jabatan Kehakiman Syariah Sarawak, Jabatan Mufti Sarawak, Jabatan Bantuan Guaman Sarawak dan DBP, sedang memperkukuh kerjasama bagi menerbitkan lebih banyak buku rujukan perundangan, bahan pengistilahan dan dokumen standard rujukan bahasa undang-undang.
Dalam pada itu, Datuk Sharifah Hasidah turut menegaskan bahawa kerajaan Sarawak sentiasa komited menyokong inisiatif memartabatkan bahasa kebangsaan dalam semua ranah, termasuk undang-undang syariah.
“Bahasa kebangsaan mesti dijaga dan dimartabatkan pada kedudukan yang tertinggi meskipun kita mengiktiraf kepentingan bahasa Inggeris,” katanya.-EDISI UKAS
Disediakan oleh : Maryam Zanariah Ibrahim
Foto : Ibanez