KUCHING: Keindahan Gunung Santubong bukan sahaja terletak pada panoramanya yang memukau, tetapi turut tersimpan di dalamnya kisah tamadun silam yang membentuk akar sejarah Sarawak berpotensi besar untuk diangkat sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO pada masa hadapan.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat merangkap Ahli Parlimen Santubong Dato Sri Nancy Shukri berkata, Santubong menyimpan banyak peninggalan sejarah yang belum diterokai sepenuhnya.
“Penemuan tapak arkeologi di Sungai Jaong, Bukit Maras dan Bukit Samarahan jelas membuktikan bahawa kawasan itu pernah menjadi pusat perdagangan antarabangsa sejak abad ketujuh Masihi.
“Gunung Santubong bukan hanya mercu tanda geografi, tetapi lambang kepada kehebatan tamadun purba yang memiliki kemahiran metalurgi dan jaringan maritim luas.
"Ini bukti bahawa nenek moyang kita sudah berhubung dengan dunia luar jauh sebelum wujudnya teknologi moden,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Seminar Warisan Santubong: Eksplorasi Ilmu dan Jejak Tamadun di Pusat Kecemerlangan Teknologi Sarawak (CENTEXS) Santubong, pada Khamis.
Selain keindahan landskapnya, beliau memberitahu Santubong juga kaya dengan keharmonian masyarakat pelbagai kaumm, nilai muhibah dan perpaduan yang telah lama wujud di kawasan itu yang menjadi kekuatan sebenar Santubong sebagai lambang warisan sosial dan budaya Sarawak.
Menyentuh mengenai program, Dato Sri Nancy menjelaskan tema ‘Eksplorasi Ilmu dan Jejak Tamadun’ amat bertepatan dengan usaha memperkukuh kesedaran masyarakat terhadap pentingnya memelihara warisan tempatan.
“Warisan bukan hanya untuk disimpan di muzium, tetapi perlu dihidupkan semula melalui ilmu dan kefahaman masyarakat,” ujar beliau lagi.
Program berkenaan turut menampilkan tokoh warisan Sarawak termasuk Dr Sanib Said, Dr Ipoi Datan dan Muhammad Sherman Saufi yang membincangkan pelbagai aspek falsafah Melayu, kemanusiaan, sains sosial serta pemeliharaan warisan.
Dalam pada itu, beliau turut menyeru agar generasi muda menjadi Duta Warisan Santubong dengan menyebarkan ilmu dan semangat cintakan warisan kepada keluarga, rakan dan masyarakat setempat.
Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif CENTEXS Dato Syeed Mohd Hussein Wan Abdul Rahman, Timbalan Ketua Pengarah Arkib Negara Malaysia Ahmad Sukri Abdul Kadir, Pengurus Besar Amanah Khairat Yayasan Budaya Melayu Sarawak (AKYBMS) Datu Dr Sanib Said dan Pegawai Daerah Kuching Zaidi Sarkawi. -EDISI UKAS