Kerajaan Sarawak Tekad Perkasa Pendidikan Luar Bandar
JULAU: Komitmen kerajaan Sarawak dalam memperkukuh sistem pendidikan luar bandar terus dizahirkan menerusi pelaksanaan dasar pendidikan percuma bermula tahun 2026 khususnya dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meluan Dato Rolland Duat Jubin berkata, langkah itu membuktikan keprihatinan kerajaan negeri dalam memastikan anak-anak luar bandar tidak ketinggalan arus pembangunan pendidikan.
“Pendidikan bukan sekadar jalan keluar daripada kemiskinan, tetapi jambatan menuju kemajuan negeri dan negara.
"Kerajaan komited memastikan semua rakyat, tanpa mengira lokasi, mendapat akses kepada pendidikan berkualiti,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa merasmikan Majlis Apresiasi dan Graduasi Sekolah Kebangsaan (SK) Tapang Punggu, Julau pada Rabu.
Dato Rolland turut menegaskan bahawa kejayaan pelajar bukan hanya bergantung kepada peranan sekolah semata-mata, tetapi turut memerlukan sokongan dan penglibatan aktif ibu bapa serta komuniti setempat.
Turut hadir, Pegawai Pendidikan Daerah Julau, Dali Rain, Guru Besar SK Tapang Punggu, Diana Luxury Aloysius Alek, ketua masyarakat, guru-guru, serta ibu bapa yang hadir bagi meraikan kejayaan anak-anak mereka menamatkan persekolahan rendah.-EDISI UKAS