Kerjasama Sarawak-Sumatera Utara Perkukuh Sektor Pertanian & Perikanan
INDONESIA: Sektor pertanian dan perikanan menjadi fokus utama dalam perbincangan antara Sarawak dan Sumatera Utara menerusi kunjungan hormat Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak (Industri Makanan), Datuk Dr Abdul Rahman Ismail kepada Setiausaha Kerajaan Negeri Sumatera Utara, Indonesia, Sulaiman Harahap, di Bangunan Gubernur Provinsi Sumatera Utara, pada Rabu.
Kunjungan itu menekankan potensi kerjasama dua hala dalam bidang penghasilan gas metana daripada kelapa sawit serta penternakan ikan tilapia secara komersial, yang dilihat mampu memperkukuh hubungan ekonomi dan teknologi antara kedua-dua wilayah.
Menurut Datuk Dr Abdul Rahman, kerjasama strategik ini bukan sahaja dapat meningkatkan produktiviti dan nilai tambah sektor pertanian dan perikanan, tetapi juga menyumbang kepada pembangunan mampan serta kesejahteraan komuniti luar bandar di kedua-dua wilayah.
Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telang Usan merangkap Ahli Jemaah Pengarah PPNS, Dato Dennis Ngau, Setiausaha Tetap M-FICORD, Datu Sirai Daha, Penolong Pemerintahan dan Kesejahteraan Rakyat Sumatera Utara, Drs Basarin Yunus Tanjung, Ketua Jabatan Kelautan dan Perikanan Sumatera Utara, Ir Supryanto, Pemangku Ketua Jabatan Penanaman Modal dan Pelayanan Terpadu Sumatera Utara, Chandra Dalimunte, serta Pengurus Besar PPNS, Gom Raway.-EDISI UKAS