Lawatan Penanda Aras Ke Thailand Perkukuh Persiapan Malaysia Hadapi Sukan SEA 2027
BANGKOK: Sarawak bersama Johor dan Pulau Pinang selaku tuan rumah Sukan SEA 2027 memperkukuh persiapan awal apabila menyertai delegasi Malaysia seramai 59 orang dalam Lawatan Penanda Aras Sukan SEA Thailand 2025 di Bangkok.
Delegasi tersebut terdiri daripada Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Sekretariat Jawatankuasa Penganjur Sukan Malaysia (MASOC) serta wakil kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan dari ketiga-tiga negeri penganjur.
Lawatan selama lima hari itu bertujuan menimba pengalaman dan mengenal pasti amalan terbaik daripada Jawatankuasa Penganjur Sukan Thailand (THASOC) bagi memperkukuh persiapan Malaysia sebagai tuan rumah temasya Sukan SEA ke-34 pada 2027.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Sekretariat Penganjur Sukan SEA Malaysia (MASOC) dan Sukan Para ASEAN 2027, Abdul Rashid Yaakub berkata, penganjuran Sukan SEA Thailand 2025 wajar dijadikan contoh dalam memastikan kesiapsiagaan Malaysia dari segi pengurusan, logistik dan operasi berjalan lancar.
"Delegasi ini berpeluang memerhati secara langsung struktur organisasi dan rangka kerja operasi penganjuran Sukan SEA ke-33 di Thailand.
"Amalan terbaik yang diperoleh akan dijadikan panduan dalam aspek pengurusan pusat arahan, operasi setempat, teknikal, pengangkutan, logistik, operasi media dan penyelarasan sukarelawan antara wilayah, negeri dan daerah,” katanya ketika menyampaikan taklimat kepada delegasi di sini pada Khamis.
Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Operasi), Datu Hii Chang Kee turut menekankan agar setiap pegawai seranta daripada jawatankuasa yang telah dilantik Kerajaan Sarawak menggunakan peluang ini untuk membuat pemerhatian terperinci bagi mengenal pasti keperluan dan persiapan yang diperlukan dalam memastikan Sarawak bersedia sebagai salah satu negeri penganjur Sukan SEA 2027.
Taklimat tersebut turut dihadiri Timbalan Setiausaha Kerajaan Johor (Belia, Sukan dan Sukarelawan), Dato’ On Jabbar, Setiausaha Tetap Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Morshidi Frederick serta Pengarah Majlis Sukan Negeri Pulau Pinang, Harry Chai.
Sukan SEA Thailand 2025 dijadual berlangsung dari 9 hingga 20 Disember 2025, mempertandingkan 50 jenis sukan di beberapa lokasi utama termasuk Bangkok dan Chonburi.
Penganjuran temasya itu dijangka menjadi rujukan penting kepada Malaysia bagi memastikan kelancaran dan kejayaan Sukan SEA 2027, yang bakal berlangsung serentak di Sarawak, Johor dan Pulau Pinang.
Delegasi Sarawak turut disertai oleh Timbalan Setiausaha Tetap Kementerian Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Nur Alina Abdullah @ Colliner Gohe, Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Sukan Sarawak merangkap Pengarah Majlis Sukan Negeri Sarawak, Khairul Nizam Morshidi serta wakil-wakil daripada setiap jawatankuasa kerja bagi penganjuran Sukan SEA 2027 di Sarawak.-EDISI UKAS