BELAGA: Projek penyediaan jalan ke lot pertanian di Sungai Asap yang terbengkalai hampir tujuh tahun perlu diselesaikan segera bagi memastikan pembangunan sosioekonomi penduduk penempatan semula itu dapat dipacu dengan lebih berkesan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Murum, Kennedy Chukpai Ugon berkata, kelewatan projek fasa pertama sepanjang kira-kira 60 kilometer itu menimbulkan kebimbangan penduduk, lebih-lebih lagi selepas kontraktor terdahulu ditamatkan dan tiada kemajuan kerja dicapai hampir setahun.
“Saya menerima surat daripada persatuan penduduk minggu lalu mendesak supaya jalan lot ini dipercepatkan.
“Mereka sudah menunggu terlalu lama. Tanpa jalan, tanah tiga ekar yang diberikan kepada setiap keluarga tidak dapat dimajukan,” katanya ketika berucap pada majlis lawatan kerja ke Uma Daro di Sungai Asap di sini, pada Rabu.
Beliau berkata, kerajaan negeri telah memperuntukkan RM100 juta melalui inisiatif Upper Rajang Development Agency (URDA) untuk menyiapkan fasa pertama projek berkenaan, namun pelaksanaannya terlalu perlahan dan menjejaskan perancangan pembangunan kawasan Sungai Asap secara keseluruhan.
Menurutnya, kajian penempatan semula yang dijalankan Unit Perancangan Negeri pada 2019 juga masih belum dibentangkan, sedangkan ia penting bagi merangka hala tuju pembangunan kawasan itu menjelang 2030.
“Masih banyak keperluan asas di Sungai Asap yang perlu diberi perhatian.
“Kerap berlaku gangguan bekalan elektrik, air dan telekomunikasi.
“Ia menimbulkan persoalan bagaimana klinik di sini dapat menyimpan ubat-ubatan kritikal sekiranya berlaku ‘blackout’,” katanya.
Kennedy turut mencadangkan agar kerajaan membina rumah rehat rasmi di Sungai Asap bagi menampung keperluan pegawai kerajaan yang menjalankan tugasan di kawasan pedalaman itu memandangkan tiada kemudahan penginapan tersedia.
“Di kawasan lain, sekurang-kurangnya ada hotel. Di sini tiada.
“Jadi perlu ada rumah rehat kerajaan untuk memudahkan urusan pegawai,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada kepimpinan negeri atas komitmen berterusan terhadap pembangunan kawasan pedalaman termasuk DUN Murum.
Turut hadir ialah Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki serta isteri, Datin Amar Baduyah Bujang, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datu Buckland Bangik, Pengarah Unit Digital Perkhidmatan Awam Sarawak, Datu Grace Huong Siow Hung, Pengarah Unit Pentadbiran, Rusmaliza Mat Darus, Pengarah Unit Keselamatan dan Penguatkuasaan Sarawak (UKPS), Abdul Wahab Rahim, Timbalan Residen mewakili Residen Bahagian Kapit, Robert Liman Deli, Pegawai Daerah Belaga, Bidah Lijah serta Ketua Masyarakat Kawasan Sungai Asap, Pemanca Umek Jeno. -EDISI UKAS