Delegasi Malaysia Hadir Beri Sokongan Pada Mesyuarat Jawatankuasa Penyelaras Ke-4 Sukan SEA Thailand 2025
BANGKOK: Mesyuarat Jawatankuasa Penyelaras Ke-4 Persekutuan Sukan Asia Tenggara (SEAGF) bagi Sukan SEA Thailand 2025 hari ini memuktamadkan angka rasmi dan perkembangan terkini penganjuran temasya dwitahunan itu, sekali gus mengesahkan penyertaan keseluruhan 22,132 individu merangkumi atlet, pegawai dan petugas teknikal.
Daripada jumlah tersebut, seramai 8,270 atlet bakal bertanding dalam pelbagai acara sukan, manakala 3,950 pegawai pasukan akan berada di lapangan bagi menyelaras operasi kontinjen masing-masing.
Temasya ini turut membabitkan 9,534 pegawai teknikal dan sokongan, termasuk pengadil, pengurus venue, marshal serta sukarelawan teknikal.
Selain itu, seramai 378 tetamu kenamaan (VIP) dan pengiring turut disahkan hadir bagi memenuhi undangan rasmi negara tuan rumah serta memastikan kelancaran aspek protokol sepanjang temasya berlangsung.
Mesyuarat tersebut dipengerusikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif SEAGF, Dato’ Seri Chaiyapak Siriwat dan turut dihadiri Gabenor Pihak Berkuasa Sukan Thailand, Dr Gongsak Yodmani serta Setiausaha Menteri Pelancongan dan Sukan Thailand, Norapol Tantimontri bersama barisan jawatankuasa pelaksana Sukan SEA Thailand 2025.
Dalam sesi taklimat tersebut, Jawatankuasa Induk mengesahkan bahawa edisi 2025 akan menampilkan 50 sukan merangkumi 105 disiplin, selain tiga sukan demonstrasi dan satu sukan pameran menjadikan keseluruhan 573 acara bakal dipertandingkan.
Mesyuarat turut mendengar pembentangan laporan kemajuan daripada beberapa Jawatankuasa (JK) Utama, termasuk JK Perhubungan Antarabangsa dan Sekretariat, JK Pengurusan Pertandingan, JK Sokongan dan Perkhidmatan, JK Penyiaran dan Media serta JK Teknikal Sukan.
Laporan tersebut memberikan gambaran menyeluruh mengenai tahap kesiapsiagaan Thailand, yang sebelum ini telah enam kali menjadi tuan rumah temasya Sukan SEA.
Malaysia turut menghantar delegasi rasmi yang terdiri daripada Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Operasi), Datu Hii Chang Kee, Ketua Pegawai Eksekutif MASOC dan Sukan Para ASEAN 2027, Abdul Rashid Yaakub, Timbalan Setiausaha Kerajaan Johor (Belia, Sukan dan Sukarelawan), Dato’ On Jabbar, Setiausaha Tetap Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Morshidi Frederick, Pengarah Majlis Sukan Negeri Pulau Pinang, Harry Chai serta wakil setiap jawatankuasa pelaksana dari Sarawak, Johor dan Pulau Pinang.
Selepas mesyuarat, delegasi Malaysia dijadual meneruskan lawatan penanda aras ke beberapa venue pertandingan Sukan SEA mengikut sukan yang akan dipertandingkan di negeri masing-masing.
Lawatan ini bertujuan mendapatkan pemahaman terperinci berkaitan keperluan teknikal, standard venue dan aspek pengoperasian pertandingan sebagai persiapan Malaysia selaku tuan rumah Sukan SEA 2027.-EDISI UKAS