Kilat Boy Lawan Mustamu Jadi Tarikan Utama Twins Championship 103
SRI AMAN: Lebih 100 petinju bakal berentap dalam Kejohanan Tinju Twins Championship 103 yang dijadual berlangsung esok di Stadium Tertutup Sri Aman melibatkan penyertaan lebih 30 kelab dari Malaysia dan Indonesia.
Kejohanan bertaraf antarabangsa itu dijangka menjadi tumpuan peminat sukan tempur apabila menghimpunkan barisan petinju muda dan profesional dari kedua-dua negara.
Menurut penganjur, Faizal Omar, bandar Simanggang dipilih sebagai lokasi penganjuran susulan permintaan tinggi dalam kalangan petinju Sarawak.
“Permintaan daripada fighter-fighter Sarawak yang sangat ramai membuatkan kami rasa perlu hadir ke Sarawak tahun ini bagi memberi peluang kepada mereka.
“Kita tahu Sri Aman mempunyai ‘crowd’ tersendiri. Sri Aman ini di Malaysia adalah home of boxing,” katanya dalam sidang media di sini, pada Jumaat.
Faizal turut menegaskan bahawa kejohanan tersebut bukan sahaja membuka ruang penyertaan lebih meluas kepada petinju tempatan, malah berpotensi merancakkan ekonomi setempat melalui penglibatan usahawan tempatan sepanjang penganjuran.
Perlawanan kemuncak bakal menyaksikan aksi kategori Super Bantamweight antara jaguh tempatan, Daelon “Kilat Boy”, menentang petinju Indonesia, Yenson Mustamu sekali gus menjadi pertarungan yang dijangka mencuri perhatian penonton.
Sementara itu, perlawanan bagi kategori Amateur Fight Card akan berlangsung dari pukul 9 pagi hingga 5 petang.
Kejohanan yang dianjurkan dengan kerjasama Pejabat Residen Bahagian Sri Aman, Twins Championship dan Kilat Boy Management itu dijangka menarik kehadiran kira-kira 4,000 penonton.-EDISI UKAS