Pendekatan Holistik & Kerjasama Komuniti Kunci Bebas Dadah di Sarawak
SIBU: Usaha memerangi penyalahgunaan dadah di Sarawak terus diperkukuh melalui pendekatan holistik melibatkan pelbagai agensi, komuniti dan institusi pendidikan.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, kerjasama strategik antara agensi kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO) dan komuniti merupakan elemen penting dalam menangani isu dadah dan penyalahgunaan substans yang kini menjadi masalah global.
Beliau yang juga Pengerusi One Stop Committee Menangani Isu Dadah dan Substance (OSC-MIDS) Sarawak berkata, pendekatan OSC yang merangkumi pencegahan, penguatkuasaan, rawatan, pemulihan dan reintegrasi membuktikan keberkesanan apabila dilaksanakan secara menyeluruh merentas pelbagai jabatan dan agensi.
Penyalahgunaan dadah, tegasnya, bukan hanya isu jenayah, tetapi turut memberi kesan terhadap kesihatan mental, keselamatan komuniti dan kesejahteraan sosial.
“Isu dadah berkait rapat dengan pelbagai masalah sosial seperti jenayah harta benda, keganasan rumah tangga, perceraian, kehamilan remaja, masalah mental dan gelandangan.
“Justeru, pendekatan menyeluruh amat diperlukan bagi menangani punca dan kesan penyalahgunaan,” katanya ketika menyempurnakan Majlis Penangguhan Program Komuniti Bebas Dadah 2025 yang dianjurkan melalui kerjasama Persatuan Ketua-Ketua Masyarakat Cina Sibu, OSC Daerah Sibu, dan Universiti Teknologi Sarawak (UTS), di sini pada Sabtu.
Menurut beliau, Sarawak turut memperkenalkan pelbagai inisiatif bersepadu seperti Community Development and Intervention Centre (CDIC), Integrated Social Issue Case Management System (ISI-CMS), serta bantuan Program Low Income Family Empowerment (LIFE) yang memberi sokongan kepada keluarga berpendapatan rendah.
Dato Sri Fatimah menambah, program seperti OSCA di klinik kesihatan turut menyediakan ruang selamat kepada individu mendapatkan rawatan tanpa rekod jenayah, sekali gus mengurangkan stigma dan menggalakkan mereka tampil secara sukarela.
Hasilnya, Sarawak kini mencatat nisbah satu dalam empat individu tampil mendapatkan bantuan melepasi piawaian antarabangsa serta kadar residivis penjara rendah iaitu 0.88 peratus.
Menurut beliau lagi, penglibatan komuniti akar umbi juga semakin meningkat dengan 80 peratus kini aktif dalam program pencegahan yang jelas menunjukkan kesedaran masyarakat terhadap bahaya dadah semakin kukuh.
Justeru beliau yakin dengan kerjasama kuat antara komuniti, agensi kerajaan, NGO dan institusi pendidikan, Sarawak mampu mencapai masyarakat bebas dadah serta menjamin masa depan generasi akan datang.
Turut hadir ialah Naib Canselor Universiti Teknologi Sarawak Profesor Emeritus Datuk Dr Khairuddin Abdul Hamid, Pengerusi Persatuan Ketua Kaum Masyarakat Cina Bahagian Sibu Temenggong Dato Vincent Lau Lee Ming, Pengerusi Pengelola Program Pemanca Datuk Jason Tai Hee, Setiausaha Eksekutif Majlis Pembangunan Sosial mewakili Setiausaha Tetap,Kementerian Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Sarawak Riziandy Nawawi, Residen Bahagian Sibu Abang Mohamad Porkan Budiman serta Wakil Pegawai Daerah Sibu Sylvia Lau Gin Si.-EDISI UKAS