Atlet Olahraga Sarawak Dinobatkan Olahragawati Sekolah Sukan Malaysia Sabah 2024
KUCHING: Atlet olahraga Sarawak, Ormillia Octavia Codday Nyadau mencipta sejarah tersendiri apabila diumumkan sebagai Olahragawati Sekolah Sukan Malaysia (SSM) Sabah Tahun 2024.
Penganugerahan berprestij itu disampaikan semasa Majlis Apresiasi Kecemerlangan 2024 – Sekolah Sukan Malaysia Sabah yang berlangsung penuh meriah pada 14 November 2024 di Sabah International Convention Centre (SICC).
Anugerah itu sekaligus mengiktiraf prestatsi konsisten Ormillia dalam sukan olahraga, khususnya menerusi pencapaian memberangsangkan yang diraih di pelbagai kejohanan peringkat kebangsaan dan antarabangsa.
Perbadanan Sukan Sarawak dan Majlis Sukan Negeri Sarawak menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan tahniah, sambil menyifatkan kejayaan Ormillia sebagai bukti komitmen dan dedikasi yang tidak berbelah bahagi dalam mengharumkan nama Sarawak.
Dengan pencapaian gemilang ini, Ormillia diharap akan terus melakar lebih banyak kejayaan, seterusnya menjadi ikon inspirasi kepada generasi baharu dalam dunia olahraga Sarawak.-EDISI UKAS