Malaysia Terima Jemputan Rasmi Ke Perasmian Sukan SEA 2025
BANGKOK: Malaysia dijemput menghadiri majlis perasmian Sukan SEA Thailand 2025 sebagai langkah penting bagi memastikan proses penyerahan bendera kepada Malaysia selaku tuan rumah temasya 2027 dapat berlangsung dengan lebih lancar, tersusun dan memenuhi protokol penganjuran serantau.
Ketua Pegawai Eksekutif Persekutuan Sukan Asia Tenggara (SEAGF), Dato’ Seri Chaiyapak Siriwat telah menyampaikan jemputan rasmi kepada delegasi Malaysia semasa sesi khas bersama Jawatankuasa Olimpik Negara Thailand (NOCT) pada Sabtu.
Menurut Chaiyapak, sesi berkenaan merupakan langkah penting dalam memperkukuh persediaan Malaysia sebagai tuan rumah Sukan SEA 2027, selain memastikan penyelarasan awal dengan Thailand bagi menjamin kelancaran penganjuran temasya serantau itu.
Dalam sesi yang sama, beliau turut berkongsi amalan terbaik penganjuran Sukan SEA Thailand 2025 yang bakal berlangsung di tiga bandar utama iaitu Bangkok, Chonburi dan Songkhla dari 9 hingga 20 Disember 2025.
Beliau memaklumkan bahawa beberapa stesen penyiaran dari Malaysia, termasuk Astro dan TVS telah mengemukakan permohonan bagi mendapatkan hak penyiaran Sukan SEA 2025.
SEAGF dalam pada itu menegaskan bahawa kerajaan Malaysia perlu memuktamadkan tarikh rasmi penganjuran Sukan SEA 2027 sebelum Mesyuarat Penyelarasan SEAGF pada 8 Disember 2025.
Sepanjang sesi khas tersebut, delegasi Malaysia turut diberikan nasihat teknikal dan operasi merangkumi penyelarasan melalui suruhanjaya koordinasi, pengurusan hak cipta bahan siaran dan pusat penyiaran, pengurusan pas media dan pusat media, tatacara mesyuarat penganjuran di peringkat negara dan SEAGF, hal-hal pemasaran dan barangan rasmi (merchandise), pengurusan kad akreditasi, proses permohonan serta bayaran penyertaan atlet, selain tatacara jemputan dif-dif kenamaan antarabangsa.
Turut hadir ialah Naib Presiden NOCT, Profesor Charoen Wattanasin, Penasihat Undang-Undang SEAGF, Dato’ Low Beng Choo serta ahli-ahli majlis SEAGF.
Selesai sesi tersebut, delegasi Malaysia menerima cenderamata daripada NOCT yang disampaikan sendiri oleh Dato’ Seri Chaiyapak Siriwat kepada Ketua Pegawai Eksekutif Sekretariat Jawatankuasa Penganjur Sukan Malaysia (MASOC) dan Sukan Para ASEAN 2027, Abdul Rashid Yaakob, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Operasi), Datu Hii Chang Kee, Timbalan Setiausaha Kerajaan Johor (Belia, Sukan dan Sukarelawan), Dato’ Haji On Jabbar serta Pengarah Majlis Sukan Negeri Pulau Pinang, Harry Chai.
Sebagai tanda penghargaan, MASOC, Sarawak, Johor dan Pulau Pinang turut menyampaikan cenderamata kepada Profesor Charoen Wattanasin bagi mewakili NOCT.
Sukan SEA Thailand 2025 dijadual berlangsung dari 9 hingga 20 Disember depan di beberapa venue utama sekitar Bangkok, Chonburi dan Songkhla.- EDISI UKAS