SRI AMAN: Petinju sensasi Sarawak, Daeloniel McDelon Bong atau ‘Kilat Boy’ menggegarkan Stadium Tertutup Sri Aman apabila muncul juara Superbantamweight TWINS Championship 2025 selepas menewaskan lawannya dari Indonesia, Yenson Mustamu menerusi keputusan kiraan mata dalam empat pusingan sengit pada malam Sabtu.
Kejayaan itu sekali gus mengangkat anak jati Sri Aman berkenaan sebagai juara baharu selepas beliau menguasai keempat-empat pusingan dengan gaya serangan kemas dan taktikal, disaksikan lebih 4,000 penonton yang membanjiri gelanggang tertutup berkenaan.
Sepanjang perlawanan, Daeloniel jelas mendominasi gelanggang menerusi kombinasi pukulan pantas dan gerakan agresif, manakala Yenson kekal bertahan bagi mengekang asakan berterusan petinju Sarawak itu.
Sebelum aksi kemuncak tersebut, enam perlawanan lain turut berlangsung membabitkan beberapa kategori utama.
Bagi Kategori Heavyweight, petinju Sarawak, Aidid tewas kepada wakil Sabah, Hisyam selepas tiga pusingan menerusi kiraan mata pengadil.
Dalam Kategori Minimumweight Wanita, petinju Sarawak, Patricia kecundang kepada Meredy dari Sabah, juga melalui keputusan kiraan mata selepas tiga pusingan.
Nasib sama menimpa pemenang pingat emas tinju SUKMA Sarawak 2024, Gideon, apabila beliau ditewaskan petinju Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Aswan menerusi kiraan mata dalam aksi tiga pusingan Kategori Middleweight.
Sementara itu, Kim Wei Han dari Selangor berjaya membawa pulang gelaran Minimumweight selepas menewaskan petinju Indonesia, Irfan melalui keputusan mata juri.
Dalam Kategori Featherweight, petinju Indonesia, Eef Maharudin tewas kepada wakil Sabah, Khairul Azim menerusi kemenangan ‘Technical Knockout’ (TKO) pada pusingan kedua.
Perlawanan Kategori Super Lightweight pula menyaksikan petinju Indonesia, Sunardi Gamboa tidak dapat meneruskan pertarungan apabila doktor terpaksa menghentikan perlawanan pada pusingan kedua setelah beliau mengalami kecederaan lengan kanan ketika menentang petinju TUDM, Putih ‘Prettyboy’.
Kejohanan TWINS Championship 2025 yang melabuhkan tirai pada jam 11.30 malam turut disaksikan Timbalan Menteri Pembangunan Bakat Sarawak, Datuk Francis Harden Hollis. –EDISI UKAS