WEFT Forum 2025 Perkukuh Sarawak Sebagai Pusat Tekstil Antarabangsa
KUCHING: Sarawak terus memperkukuhkan kedudukannya dalam bidang seni tekstil berasaskan bahan semula jadi di peringkat antarabangsa.
Majlis penutup 12th Biennial World Ecofiber Textile (WEFT) Forum 2025 disempurnakan melalui Gala Dinner dan International Fashion Show yang berlangsung meriah di sini pada malam Ahad.
Majlis berkenaan telah dihadiri oleh Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Datuk Snowdan Lawan yang mewakili Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah.
Presiden Society Atelier Sarawak, Melinda Omar dalam ucapannya pula mengumumkan bahawa seramai 20 delegasi antarabangsa akan menyertai lawatan pasca-forum ke Rumah Gare, Sungai Kain di Ulu Kapit bagi menyaksikan Upacara Ngar, tradisi unik penenun pua kumbu Iban yang jarang dipersembahkan kepada khalayak luar.
Lawatan ini dijangka dapat memperluaskan pemahaman antarabangsa mengenai warisan tekstil masyarakat Iban serta nilai budaya yang terkandung di dalamnya.
Kehadiran para pereka antarabangsa, delegasi luar negara dan tetamu kehormat daripada lebih 20 negara menyerlahkan lagi status WEFT sebagai platform tekstil global.
Kemuncak majlis berprestij berkenaan adalah pertunjukkan fesyen antarabangsa yang menampilkan karya 12 pereka dari Indonesia, Bangladesh, India, Kyrgyzstan, Laos, Filipina, China, Thailand dan Malaysia.
Koleksi mereka yang berasaskan bahan semula jadi dan tenunan tangan mempamerkan kepelbagaian budaya global yang disatukan melalui kreativiti dan warisan seni masing-masing.
Majlis malam itu turut meraikan sambutan ulang tahun ke-40 Society Atelier Sarawak, organisasi yang komited sejak 1985 dalam memelihara, mempromosikan dan memartabatkan seni tekstil serta kraftangan Sarawak di peringkat dunia.
Penganjuran WEFT Forum 2025 sekali lagi membuktikan komitmen Sarawak dalam mengangkat seni tekstil ecofiber ke pentas dunia melalui kerjasama erat Sarawak Craft Council, Society Atelier Sarawak, ASEAN Handicraft Promotion and Development Association (APADA), Asia Pacific Crafts Alliance (APCA) serta rangkaian organisasi budaya antarabangsa. -EDISI UKAS
Disediakan oleh: Betrice Britney Dee
Foto: Betrice Britney Dee