KUCHING: Integriti dan tadbir urus baik kekal menjadi asas pentadbiran Kerajaan Sarawak dalam memastikan pembangunan negeri berjalan secara telus, berakauntabiliti dan memberi manfaat kepada rakyat sekali gus menjadi pemacu utama kepada kejayaan negeri menuju 2030.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, komitmen terhadap integriti dan tadbir urus baik telah menjadi keutamaan sejak 2017 apabila beliau mula mengetuai pentadbiran negeri.
“Kerajaan GPS Sarawak telah memberi penekanan yang tinggi terhadap disiplin fiskal, integriti, tadbir urus yang baik dan langkah-langkah anti-rasuah sejak tahun 2017 apabila saya mengambil alih jawatan sebagai Premier Sarawak,” katanya.
Beliau berucap demikian semasa Hari Integriti Bank Pembangunan Sarawak atau Development Bank of Sarawak Bhd (DBOS) di salah sebuah hotel di sini, pada Isnin.
Datuk Patinggi Abang Zohari menambah, ikrar integriti yang dibuat bersama anggota kabinet menjadi pengingat berterusan terhadap tanggungjawab memelihara ketelusan dan bebas daripada amalan salah guna kuasa.
Beliau turut menekankan bahawa Kerajaan Sarawak juga telah memperkukuh agenda integriti dengan mewajibkan semua kementerian, agensi, badan berkanun dan GLC melaksanakan Organisational Anti-Corruption Plan (OACP), selain memiliki lebih 210 Pegawai Integriti Bertauliah (CeIOs) iaitu jumlah tertinggi di Malaysia bagi membantu menangani risiko rasuah.
Selain itu, katanya, Unit Integriti dan Ombudsman Sarawak (UNIONS), yang ditubuhkan pada 2018, menjadi bukti komitmen negeri dalam mempertingkat sistem aduan awam dan pemantauan bebas, diikuti penggubalan Ordinan Ombudsman 2023 yang memberi kuasa undang-undang untuk menyiasat serta menilai kecekapan penyampaian perkhidmatan awam.
Premier Sarawak menekankan bahawa persekitaran tadbir urus yang telus telah menyumbang kepada prestasi kewangan negeri yang kukuh, keyakinan pelabur dan pengekalan penarafan kredit AAA secara konsisten yang membuktikan keipimpinan integriti dalam mengurus hasil dan aset negeri.
Seiring agenda memperkukuh integriti negeri, Premier Sarawak berkata DBOS yang menyerlahkan usaha institusi kewangan pembangunan itu memupuk budaya kerja berintegriti dalam melaksanakan mandat pembangunan negeri.
Jelasnya, integriti menjadi asas kepercayaan rakyat dan pemegang taruh, justeru DBOS perlu mengekalkan standard profesionalisme tertinggi.
Dalam majlis ini, Premier Sarawak turut menyaksikan pelancaran Islamic Banking Window, menandakan satu lagi pencapaian penting DBOS dalam memperluas tawaran perkhidmatan selaras nilai Syariah.
Turut hadir ialah Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar, Pengerusi Sarawak Information System (SAINS) Datuk Patinggi Tan Sri Dr. George Chan Hong Nam, Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Dato Sri Fatimah Abdullah, Menteri Pengangkutan Sarawak Dato Sri Lee Kim Shin, Menteri di Jabatan Premier Sarawak Dato Sri John Sikie Tayai, Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Datuk Francis Harden Hollis, Pengerusi DBOS Tan Sri Datuk Amar Mohamad Morshidi Abdul Ghani, Ketua Pegawai Eksekutif DBOS Datu Laura Lee Ngien Hion serta dif-dif jemputan yang lain.-EDISI UKAS
Disediakan oleh: Nur Nabilla
Foto: George S. Embie