Sarawak Perkukuh Kedudukan Sebagai Hab Gastronomi Antarabangsa
MIRI: Sarawak terus memperkukuhkan kedudukannya sebagai destinasi gastronomi bertaraf antarabangsa apabila menjadi tuan rumah ‘World National & World Asia Tapas Competition, Exhibition, Festival and Seminar’ 2026 (WATCEFS 2026) yang akan berlangsung dari 18 hingga 21 Jun ini di Miri.
Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Datuk Sebastian Ting Chiew Yew berkata penganjuran acara berprestij tersebut bukan sahaja mempromosikan warisan kulinari Sarawak, malah membuka peluang perdagangan, pelaburan, pembangunan bakat serta kerjasama antarabangsa yang mampu mengangkat negeri ini ke pentas global.
Katanya, Sarawak kini diiktiraf sebagai ‘Asia Capital of Tapas’, satu pengiktirafan yang mencerminkan kreativiti kulinari serta kepelbagaian budaya masyarakat berbilang kaum di negeri ini.
“Penganjuran WATCEFS 2026 dijangka menarik kira-kira 3,000 peserta dan pengunjung, lebih 100 pempamer tempatan dan antarabangsa, 30 peserta Malaysia dalam World National Tapas Competition serta 25 peserta dari 12 negara bagi World Asia Tapas Competition,” katanya lagi.
Beliau berkata demikian dalam sidang media World National & World Asia Tapas Competition, Exhibition, Festival and Seminar 2026 (WATCEFS 2026) pada Ahad.
Tambah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Piasau itu lagi, juara pertandingan tersebut akan mewakili negara ke ‘World Tapas Championship’ di Valladolid, Sepanyol, manakala delegasi dan rakan strategik dari Sepanyol, China, Vietnam, Brunei Darussalam, Indonesia, Korea Selatan, Thailand, Filipina, Singapura, Kemboja, Jordan dan Abu Dhabi turut dijangka hadir.
Antara tarikan utama WATCEFS 2026 ialah program ‘Asia on a Plate’ yang menghimpunkan chef-chef dari seluruh Asia bagi mempersembahkan hidangan tapas istimewa masing-masing. Program tersebut turut menjadi platform pertukaran budaya dan jaringan profesional dalam kalangan pemain industri makanan, pelancongan dan hospitaliti.
Festival makanan yang berlangsung dari 19 hingga 21 Jun pula akan menampilkan demonstrasi masakan secara langsung, sajian ikan sungai Sarawak, masakan autentik Shantou, hidangan Orang Ulu serta pelbagai juadah tempatan lain.
Dalam pada itu, pertandingan Borneo Barista Art Challenge dan World Coffee Blending Competition yang turut diadakan dijangka menyerlahkan bakat barista serta profesional kopi dari pelbagai negara, sekali gus memperkukuhkan kedudukan Sarawak dalam industri kopi khas di peringkat antarabangsa.
Sementara itu, Datuk Bandar Bandaraya Miri merangkap ADUN Pujut, Adam Yii Siew Sang berkata pemilihan Miri sebagai lokasi penganjuran edisi ketiga WATCEFS adalah amat bertepatan memandangkan bandar raya tersebut merupakan pintu masuk ke utara Sarawak serta gerbang kepada dua Tapak Warisan Dunia UNESCO iaitu Taman Negara Gunung Mulu dan Taman Negara Niah. -EDISI UKAS