Warisan Budaya Kayan Berpotensi Pacu Pelancongan, Ekonomi Kreatif
BINTULU: Warisan budaya masyarakat Kayan mempunyai potensi besar untuk diperkasakan sebagai pemangkin pembangunan ekonomi, khususnya dalam sektor pelancongan dan ekonomi kreatif di Sarawak.
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia, Dato Seri Tiong King Sing berkata, kekayaan budaya yang dimiliki masyarakat Kayan merupakan aset bernilai yang perlu dipelihara dan dimanfaatkan bagi pembangunan komuniti serta pertumbuhan ekonomi negeri.
Menurut beliau, identiti budaya bukan sahaja mencerminkan jati diri sesuatu kaum, malah mampu menjadi kekuatan yang menyumbang kepada pembangunan sosioekonomi dalam era moden.
“Warisan budaya masyarakat Kayan merupakan khazanah yang amat bernilai. Ia bukan sahaja perlu dipelihara, malah harus diperkasakan sebagai pemangkin kepada pembangunan ekonomi, khususnya dalam sektor pelancongan dan ekonomi kreatif.
“Dalam dunia yang semakin moden dan mencabar ini, identiti budaya merupakan kekuatan yang tidak ternilai,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi teks ucapan yang dibacakan Pegawai Tugas-Tugas Khas beliau, Steven Kong Kai Seng pada Majlis Makan Malam Perayaan Do Ledoh Persatuan Kayan Sarawak (PKS) Cawangan Bintulu 2026 pada Sabtu.
Tambah beliau, peranan pertubuhan komuniti seperti Persatuan Kayan Sarawak amat penting dalam memastikan warisan budaya terus dipelihara, dikembangkan dan diwariskan kepada generasi akan datang.
Katanya, usaha memelihara warisan budaya perlu bergerak seiring dengan pembangunan negeri agar identiti dan nilai tradisi masyarakat tidak terhakis dalam arus pemodenan yang pesat.
Beliau turut menegaskan bahawa pemerkasaan budaya mampu membuka peluang baharu dalam industri pelancongan berasaskan komuniti, selain merangsang pertumbuhan ekonomi kreatif yang semakin mendapat perhatian di peringkat global.
Turut hadir, Presiden Persatuan Kayan Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telang Usan Dato Dennis Ngau serta Residen Bahagian Bintulu Datu Nyurak Keti.- EDISI UKAS