Pendidikan Pemangkin Kejayaan & Transformasi Masyarakat Kelabit
MIRI: Pendidikan telah menjadi pemangkin utama kepada transformasi masyarakat Kelabit sehingga berjaya melahirkan ramai profesional, pemimpin dan tokoh yang menyumbang kepada pembangunan Sarawak.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Buruh, Imigresen dan Pemantauan Projek), Datuk Gerawat Gala berkata perubahan besar itu bermula sejak kumpulan perintis pelajar Kelabit mengikuti pendidikan formal di sekolah pertama yang dibina di Pa Main sekitar tahun 1950-an.
Menurut beliau, dalam tempoh beberapa dekad, masyarakat Kelabit telah mencatat kemajuan yang membanggakan dengan lahirnya ramai profesional dalam pelbagai bidang termasuk perkhidmatan awam, akademik, keusahawanan, kejuruteraan, perubatan, perundangan dan pendidikan.
“Dalam tempoh beberapa dekad sahaja, kita menyaksikan kemunculan ramai profesional, pemimpin, pegawai kanan kerajaan, ahli akademik, usahawan, jurutera, doktor, peguam dan pendidik yang menjadi kebanggaan masyarakat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Anugerah Kecemerlangan Pendidikan Rurum Kelabit Sarawak (RKS) Kali Ke-22, di sini pada Sabtu.
Dalam pada itu, beliau berkata Kerajaan Sarawak di bawah kepimpinan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Abang Openg terus memberi penekanan terhadap pembangunan modal insan sebagai asas kemajuan negeri.
Katanya, kerajaan percaya masa depan Sarawak bergantung kepada kualiti serta keupayaan generasi muda yang dibentuk hari ini, justeru peruntukan besar disediakan setiap tahun bagi memperkukuhkan sektor pendidikan.
Pada majlis tersebut, seramai 44 pelajar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bagi tahun 2023, 2024 dan 2025 menerima anugerah kecemerlangan, selain dua penerima Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM).
Turut menerima pengiktirafan ialah seorang penerima ijazah Doktor Falsafah serta tiga pesara guru atas sumbangan dan kecemerlangan mereka dalam bidang pendidikan serta pembangunan masyarakat Kelabit.
Hadir sama, Presiden Rurum Kelabit Sarawak Dato Isaac Lugun dan Pengerusi Unit Pendidikan Rurum Kelabit Sarawak Dr Adrian Daud.- EDISI UKAS