SAMArindok Siri II Angkat Puisi Melayu Tradisional
KUCHING: Penganjuran SAMArindok Persembahan Kebudayaan Melayu Sarawak 2026 Siri II: Puisi Melayu Tradisional yang berjaya menarik ratusan pengunjung di Godown Amphitheater, Tebingan Sungai Kuching, pada Sabtu secara langsung mengangkap khazanah puisi Melayu tradisional.
Program anjuran Amanah Khairat Yayasan Budaya Melayu Sarawak (AKYBMS) itu menampilkan persembahan puisi Melayu tradisional yang digarap secara kreatif melalui elemen penceritaan dan pentas, sekali gus memberi nafas baharu kepada seni warisan tempatan agar terus relevan dalam kalangan masyarakat masa kini.
Pementasan kali ini mengangkat kisah sejarah berkaitan Kerajaan Melayu Saribas dan Kerajaan Melayu Kalaka, dengan penumpuan kepada watak Dang Umbok dan Dang Ukok yang merupakan sebahagian daripada khazanah penting manuskrip Melayu Sarawak hasil penyelidikan serta penerbitan AKYBMS.
Selain mengekalkan nilai tradisi, pendekatan persembahan yang segar dan interaktif turut berjaya menarik minat pelbagai lapisan penonton, sekali gus membuktikan seni budaya tempatan mampu diketengahkan dalam bentuk yang lebih dinamik dan inklusif.
Pada masa sama, program tersebut turut memberi ruang kepada Generasi Baharu Artis Badan Seni AKYBMS untuk menyerlahkan bakat dalam bidang seni persembahan, selari dengan usaha melahirkan pelapis seni budaya negeri.
Menerusi satu kenyataan media, Pengurus Besar AKYBMS, Datu Dr Sanib Said berkata, pihaknya komited untuk terus memelihara dan memartabatkan warisan budaya Melayu Sarawak melalui pelbagai inisiatif strategik.
Beliau menambah, pemerkasaan seni budaya tempatan amat penting dalam memperteguh identiti Melayu Sarawak serta memastikan warisan berkenaan terus diwarisi oleh generasi akan datang.
Program SAMArindok seterusnya dijadualkan berlangsung pada 12 September depan dengan menampilkan tema Pencak Silat sebagai kesinambungan usaha memperkasa seni warisan Melayu Sarawak. -EDISI UKAS