Sarawak Urus Aset Secara Berhemah Demi Menjamin Masa Depan Generasi Akan Datang
KUCHING: Pengurusan aset yang berhemah akan terus menjadi asas kepada kekuatan ekonomi Sarawak dalam memastikan masa depan negeri berada di landasan yang stabil, mampan dan progresif.
Menurut Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Abang Openg, kerajaan negeri mengurus aset negeri berasaskan prinsip pengurusan aset yang berhemat melalui tiga komponen utama iaitu simpanan (saving), perbelanjaan untuk penggunaan (consumption) dan pelaburan (investment).
“Yang penting ialah bagaimana kita mengurus aset sama ada aset cair dan aset nyata. Pendapatan negeri mesti diurus melalui tiga komponen iaitu simpanan, penggunaan dan pelaburan. Ketiga-tiga ini mesti diurus secara berhemat,” katanya semasa Hari Integriti Bank Pembangunan Sarawak atau Development Bank of Sarawak Bhd (DBOS) di Hotel Riverside di sini, pada Isnin.
Premier Sarawak menjelaskan, sebahagian daripada pendapatan negeri telah diperuntukkan kepada Dana Kekayaan Berdaulat Masa Depan Sarawak (Sovereign Wealth Fund) bagi menjamin masa depan generasi negeri ini, selaras dengan prinsip bahawa sebahagian pendapatan hari ini mesti disimpan sebagai aset masa hadapan.
Menurutnya, pengurusan aset turut membabitkan perbelanjaan untuk keperluan rakyat, termasuk pendidikan percuma, kebajikan, dan sokongan sosial, yang menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi.
Dalam pada itu, Datuk Patinggi Abang Zohari juga menekankan bahawa Sarawak mengurus aset dengan penuh disiplin bagi mengelakkan beban hutang yang tidak seimbang.
Turut hadir ialah Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar, Pengerusi Sarawak Information System (SAINS) Datuk Patinggi Tan Sri Dr. George Chan Hong Nam, Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Dato Sri Fatimah Abdullah, Menteri Pengangkutan Sarawak Dato Sri Lee Kim Shin, Menteri di Jabatan Premier Sarawak Dato Sri John Sikie Tayai, Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Datuk Francis Harden Hollis, Pengerusi DBOS Tan Sri Datuk Amar Mohamad Morshidi Abdul Ghani, Ketua Pegawai Eksekutif DBOS Datu Laura Lee Ngien Hion serta dif-dif jemputan yang lain.-EDISI UKAS
Disediakan oleh: Nur Nabilla
Foto: George S. Embie