DBKU Terima Gold Class 1 Award Dalam Anugerah MSOSH 2024
KUALA LUMPUR: Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) menerima Gold Class 1 Award for A Very Good OSH Performance in 2024 sempena Anugerah Malaysia Society for Occupational Safety & Health (MSOSH) yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada Isnin.
Pengiktirafan tersebut diberikan sebagai tanda penghargaan terhadap komitmen berterusan DBKU dalam mengamalkan standard keselamatan dan kesihatan pekerjaan (OSH) yang cemerlang di tempat kerja. Ia turut mencerminkan usaha organisasi itu dalam menyediakan persekitaran kerja yang lebih selamat, sihat dan produktif untuk seluruh warganya.
Pencapaian ini menjadi dorongan kepada DBKU untuk terus memperkukuh budaya kerja selamat, meningkatkan kesedaran OSHC serta memperluaskan pelaksanaan inisiatif keselamatan dan kesihatan di semua peringkat jabatan.
Sejak diperkenalkan pada tahun 1982, Anugerah MSOSH menjadi platform utama di peringkat nasional untuk mengiktiraf organisasi yang menunjukkan kecemerlangan dalam pengurusan keselamatan dan kesihatan pekerjaan di Malaysia.
DBKU dalam kenyataannya menegaskan komitmen untuk terus mengekalkan tahap kecemerlangan tersebut dalam setiap aspek operasi, selaras dengan visi menjadikan Kuching sebuah bandar raya yang indah, selamat dan sejahtera.
Turut hadir menerima anugerah ialah Timbalan Pengarah Jabatan Perkhidmatan Korporat DBKU, Kartini Bushra, Ketua Bahagian Penyelenggaraan Infrastruktur DBKU, Ir. Zaidi Pathi, Ketua Bahagian Pentadbiran, Peter Martin, Pemangku Ketua Bahagian Kesihatan Persekitaran DBKU, Khairulnizam Abdul Rani, serta Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran merangkap Pegawai OSHC DBKUMastura Iskandar.-EDISI UKAS