LAKMNS Pegang Hampir Semua Ekuiti Lubuk Tiara Sdn. Bhd.
MIRI: Lembaga Amanah Kebajikan Masjid Negeri Sarawak (LAKMNS) kini memegang hampir semua ekuiti di Lubuk Tiara Sdn. Bhd.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, ia selepas penstrukturan semula dan pengambilalihan ladang itu daripada Rimbunan Hijau sebelum ini.
"Baru-baru ini kita telah membuat penstrukturan semula syarikat ini. Di mana kepentingan LAKMNS ada dalam syarikat ini. Dan sekarang ini mereka telah mengambil alih ekuiti daripada RH.
"Maknanya semua perjalanan syarikat ini di bawah Lubuk Tiara. Maksudnya ekuitinya hampir 100 peratus di bawah lembaga ini," ujarnya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media sempena lawatan kerja rasmi ke Lubuk Tiara Sdn. Bhd di sini pada Rabu.
Dalam pada itu, Datuk Patinggi Abang Zohari menambah, beberapa cadangan telah dikemukakan untuk mempelbagaikan sumber pendapatan syarikat tersebut yang turut memberi manfaat kepada masyarakat terutamanya penduduk sekitar.
"Tidak semestinya tertumpu kepada kelapa sawit tetapi juga usaha lain yang boleh mengeluarkan bahan-bahan sampingan seperti biomass, penanaman pokok lain dan sumber ekonomi hijau sereta ekonomi kitaran.
"Kita boleh menggunakan bahan sisa daripada kelapa sawit untuk menghasilkan bahan makanan haiwan ternakan," katanya.
Ujarnya, inisiatif itu secara tidak langsung membantu penduduk sekitar menjana pendapatan daripada mengusahakan haiwan ternakan.
Hadir sama Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Datuk Dr Annuar Rapaee, Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Dr. Penguang Manggil, Residen Bahagian Miri, Galong Luang dan Pengarah Urusan Lubuk Tiara Sdn. Bhd, Kaunselor Drahman Jaladin. - EDISI UKAS