Komuniti Nelayan Dinasihat Usahakan Tanaman Kontan
SRI AMAN: Golongan nelayan serta penggiat industri asas tani di negeri ini disarankan untuk mengusahakan tanaman kontan sebagai langkah mengurangkan impak Monsun Timur Laut (MTL) terhadap sumber pendapatan mereka.
Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom berkata, usaha tersebut penting memandangkan komuniti nelayan merupakan kumpulan paling terjejas sepanjang musim cuaca buruk itu.
"Komuniti nelayan paling terjejas disebabkan oleh MTL. Atas sebab itu, golongan nelayan haruslah dididik untuk mengusahakan tanaman kontan seperti timun, sayur dan kacang bendi yang boleh dituai dalam masa singkat sebelum ketibaan MTL.
"Jangan bergantung kepada satu kerja sahaja kerana mereka bukan profesional," katanya pada sidang media sempena Program Hari Ladang Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) Batang Lupar di Tanjung Bijat di sini pada Rabu.
Selain itu katanya, kementeriannya juga turut mengarahkan Jabatan Pertanian untuk membuat pendaftaran melalui eTani bagi mengenal pasti sektor pertanian utama yang diceburi oleh penduduk dalam negeri ini.
Tindakan terbabit katanya perlu bagi membolehkan pihak kementerian menghulurkan bantuan kepada golongan petani terjejas dalam sektor utama masing-masing bagi mengelakkan pembaziran sumber.
"Kita akan bantu petani yang terjejas akibat MTL namun bukan secara menyeluruh dan kita juga akan memaklumkan mengenai risiko yang bakal mereka hadapi dalam sektor masing-masing seperti masalah penularan penyakit, cuaca dan permintaan," katanya lagi.
Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Begunan Datuk Mong Dagang, Residen Bahagian Sri Aman Mahra Salleh, Pengarah Pertanian Sarawak Dominic Chunggat, Penguasa Jabatan Tanah dan Survei Sri Aman Michaelson Nyisin dan Pengarah IADA Batang Lupar Irene Lah. -EDISI UKAS