Setiausaha Kerajaan Sarawak Tinjau Persiapan Akhir Hari Perkhidmatan Awam 2025
KUCHING: Persiapan bagi Sambutan Hari Perkhidmatan Awam (HPA) Sarawak 2025 yang dijadual berlangsung di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) pada Khamis berjalan lancar dengan keseluruhan persediaan kini berada pada tahap akhir.
Bagi memastikan kelancaran program itu, Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki meninjau raptai penuh yang diadakan pada Rabu.
Kehadiran beliau bukan sekadar memantau perjalanan raptai, tetapi turut memberi suntikan semangat kepada semua penjawat awam yang bakal terlibat dalam acara kemuncak itu nanti.
Suasana di BCCK sejak pagi lagi dipenuhi aktiviti dengan pelbagai agensi kerajaan sibuk menyempurnakan persiapan di reruai masing-masing.
Ruang pameran dipenuhi pekerja teknikal, pegawai pempamer dan sukarelawan yang memastikan pemasangan struktur, bahan maklumat serta demonstrasi perkhidmatan berjalan mengikut perancangan.
Menurut Datuk Amar Mohamad Abu Bakar, HPA bukan sekadar acara tahunan, tetapi wadah memperkukuh integriti, inovasi dan keberkesanan perkhidmatan untuk rakyat Sarawak.
Sambutan kali ini dijangka menarik kehadiran ribuan penjawat awam Sarawak dari seluruh negeri yang diisi dengan aktiviti seperti pameran agensi, persembahan khas, sesi penghargaan dan pembentangan agenda transformasi perkhidmatan awam. -EDISI UKAS
Disediakan Oleh: Eisner Nala
Jurugambar: Muhammad Rais Sanusi