60 Peratus Dana RTP DUN Semop Diutamakan Bagi Pembangunan Infrastruktur
TANJONG MANIS: Sebanyak 60 peratus daripada keseluruhan peruntukan Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Semop disalurkan khusus untuk pembangunan infrastruktur.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semop, Datuk Abdullah Saidol berkata, sejak beliau menjadi wakil rakyat di konstituensi berkenaan, sebanyak 60 peratus dana RTP telah diperuntukkan khusus bagi tujuan tersebut melibatkan 21 kampung dan 50 rumah panjang.
“Sementara kerajaan memberi tumpuan kepada pembinaan jaringan jalan raya dan jambatan utama, setiap tahun saya menggunakan 60 peruntukan RTP untuk membina atau menaik taraf jaringan jalan raya di dalam kawasan DUN Semop.
“Selain jalan raya, tumpuan turut diberikan kepada pembinaan masjid serta dewan masyarakat baharu bagi memenuhi keperluan rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan kerja ke beberapa kampung di Pulau Bruit bagi meninjau pelaksanaan dan kemajuan projek pembangunanNpada Khamis.
Tambah beliau, Kerajaan Sarawak telah memperuntukkan tidak kurang RM5 bilion dana sendiri untuk melaksanakan pelbagai projek jalan raya dan jambatan, terutama di luar bandar dan pesisir sejak tujuh tahun yang lalu.
Semasa lawatan tersebut, Datuk Abdullah berkesempatan menyempurnakan Majlis Penyerahan Tapak Projek Naiktaraf Jalan Dalam Kampung Tekajong Fasa 1 bernilai RM538,000Nyang dijangka meningkatkan keselesaan pergerakan serta memenuhi keperluan mobiliti harian penduduk.
Beliau juga menyempurnakan Majlis Penyerahan Siap Projek Naiktaraf Jalan Dalam Kampung Tekajong Fasa 2 (Jalan Merdeka/Muhibbah) bernilai RM500,000, sekali gus menyediakan rangkaian jalan kampung yang lebih baik serta selesa untuk komuniti.
Seterusnya, beliau menyaksikan Majlis Penyerahan Tapak Projek Naiktaraf Dewan Kampung Penipah berjumlah RM710,000 yang bakal memberi kemudahan ruang lebih selesa bagi penganjuran aktiviti kemasyarakatan, sosial dan program rasmi kampung.
Turut hadir, Jurutera Daerah Jabatan Kerja Raya (JKR) Daro Faizul Hashim dan wakil Pegawai Daerah Daro Sheryl Aida. -EDISI UKAS