Majlis Makan Tahun Kedayan Bakal Dijadikan Acara Tahunan
BINTULU: Majlis Makan Tahun Kampung Kuala Nyalau dijangka dianjurkan dengan skala lebih besar dan teratur tahun depan susulan cadangan untuk menjadikannya acara tahunan rasmi komuniti Kedayan.
Pegawai Daerah Bintulu, Awang Mohammed Nizam Awang Ali Bohan berkata, tradisi turun-temurun masyarakat Kedayan itu wajar diperkukuhkan kerana peranannya yang penting dalam menyatupadukan komuniti.
“Kita ingin menganjurkan majlis makan tahun secara lebih besar-besaran dan memastikan ia dimasukkan dalam kalender tahunan,” katanya semasa majlis penangguhan Program Randau Solidariti Komuniti (RSK) Peringkat Bahagian Bintulu 2025 di Kampung Kuala Nyalau, pada Khamis.
Beliau menambah, penganjuran yang lebih meriah itu juga akan melibatkan pemimpin dari kawasan DUN Samalaju, Jepak dan Tanjong Batu, sekali gus memperluas penglibatan komuniti dalam memelihara adat budaya.
Majlis makan tahun merupakan adat tradisi masyarakat Kedayan yang lazimnya diadakan selepas musim menuai sebagai tanda kesyukuran serta simbol kebersamaan.
Komuniti Kedayan banyak menetap di utara Sarawak termasuk Bintulu, Miri, Bekenu, Sibuti dan Niah, menjadikan penghidupan tradisi ini sebahagian identiti budaya yang terus diwarisi.
Pada majlis sama, Awang Mohammed Nizam turut mengumumkan bahawa Regata Bintulu akan kembali dianjurkan selepas 14 tahun tidak diadakan.
“Saya mahu semua penduduk di Kampung Kuala Nyalau terlibat sama dalam menjayakan Regata Bintulu,” tegasnya.
Regata Bintulu dijadual berlangsung dari 4 hingga 7 Disember ini di Waterfront Bintulu, menampilkan perlumbaan perahu tradisional serta pelbagai aktiviti sukan air yang dijangka menarik penyertaan luas masyarakat setempat dan memeriahkan landskap kebudayaan daerah tersebut.-EDISI UKAS