ADUN Tanjong Datu Serah Tapak Projek Fertigasi Terbuka, Rasmi Jambatan Gazebo Baharu
SEMATAN: Sebagai usaha memperkasa komuniti dan meningkatkan kemudahan infrastruktur, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Datu, Azizul Annuar Adenan, telah menyerahkan tapak projek fartigasi terbuka serta merasmikan jambatan gazebo baharu di sini pada Rabu.
Projek fartigasi terbuka ini melibatkan 200 polibeg di bawah Program Agro-Food Facility (AFF) Dewan Undangan Negeri (DUN) N3 Tanjong Datu dan diserahkan kepada Taim Teleng, seorang usahawan tani dari Kampung Pueh, Lundu.
Menurut Azizul, projek tersebut dijangka meningkatkan pengeluaran hasil tani secara lebih sistematik, seterusnya menyokong pendapatan isi rumah setempat.
“Saya berharap projek fartigasi ini dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh komuniti, seterusnya meningkatkan ekonomi keluarga dan memberi peluang kepada penduduk menanam hasil tani secara lebih teratur,” katanya ketika berucap ringkas di Kampung Pueh di sini.
Dalam perkembangan lain, jambatan gazebo baharu di Dewan Kenyalang Sekolah Kebangsaan (SK) Telok Melano pula telah siap dibina dengan kos RM35,000 dan tempoh pelaksanaan tiga bulan.
Jelas Azizul, jambatan ini berfungsi sebagai laluan tambahan untuk pelajar dan warga sekolah, serta menyokong infrastruktur sedia ada.
Semasa merasmikan jambatan tersebut, beliau menyatakan harapannya semoga kemudahan yang disediakan dijaga dengan baik agar manfaatnya dapat dinikmati oleh semua pihak.-EDISI UKAS