BSDS 2025 Pacu Peluang Ekonomi, Kerjaya Dalam Sukan Permotoran
MIRI: Borneo Star Drift Series (BSDS) 2025 berpotensi menjadi daya penarik peminat drift dari seluruh Asia Tenggara, selain mencetuskan impak ekonomi dan membuka peluang kerjaya untuk belia tempatan melalui pembangunan ekosistem sukan permotoran di Sarawak.
Ahli Dewan Negara dan Presiden Sarawak Motorsports Association (SMA), Senator Dato’ Ahmad Dato’ Sri Ibrahim menekankan perkembangan pesat sukan drift di Sarawak sejak pelancaran BSDS dua tahun lalu.
Beliau menyifatkan Litar Permyjaya Miri kini telah diiktiraf serantau sebagai “The Sarawak Drift Capital”, dan menjadi pentas penutup musim yang menghimpunkan pelumba terbaik dari pelbagai negara.
“Miri kembali hidup dengan aura permotoran. Kehadiran peminat dari dalam dan luar negara bukan sahaja meningkatkan suasana bandar, tetapi juga menyumbang kepada pembangunan ekonomi tempatan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media pusingan akhir Borneo Star Drift Series (BSDS) di Dewan Bandaraya Miri, pada Jumaat.
Tegasnya, BSDS bukan sekadar acara tahunan, sebaliknya sebahagian daripada usaha jangka panjang SMA membina ekosistem sukan permotoran yang inklusif.
Ini merangkumi latihan marshal dan juri, pembangunan kemahiran teknikal belia dalam automotif, serta pengukuhan industri sokongan seperti perniagaan alat ganti dan trak makanan.
“Inilah semangat permotoran Sarawak – Segulai Sejalai on the Circuit,” tambahnya.
Senator Dato’ Ahmad turut mengumumkan pembangunan Sarawak International Race Circuit sebagai sebuah fasiliti serba guna untuk drift, drag, autocross, cubprix dan go-kart.
Malah SMA juga berhasrat bekerjasama dengan institusi TVET bagi memperkenalkan program latihan dalam Teknologi Sukan Permotoran, membuka peluang kerjaya sebenar dalam bidang kejuruteraan mekanikal, produksi media, dan pengurusan acara.
Sehubungan itu, beliau menyeru sokongan berterusan daripada korporat dan kerajaan bagi merealisasikan visi Sarawak sebagai hab sukan permotoran Borneo dan Asia Tenggara.
Pusingan akhir BSDS 2025 berlangsung dari 21 hingga 23 November di Litar Permyjaya, Miri, dengan kemasukan percuma kepada orang ramai.
Pelbagai aktiviti seperti sesi ramah mesra pelumba, pameran kereta, dan hadiah eksklusif turut disediakan, menjadikan festival ini pengalaman mengujakan bagi komuniti dan pengunjung.-EDISI UKAS