KUCHING: Sistem baharu Endowment Fund Sarawak (EFS) dan Bantuan Ibu Bersalin (BIB) dijadual digunakan sepenuhnya mulai 1 Januari 2026.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, melalui sistem baharu ini, semua permohonan akan dibuat secara dalam talian melalui portal sarawak.gov.my dan diintegrasikan dengan SarawakPASS, sekaligus meningkatkan ketelusan, kemudahan akses dan kecekapan pemprosesan.
Menurutnya, sistem digital baharu yang dibangunkan SAINS akan memendekkan proses permohonan EFS kepada 1 bulan, manakala Bantuan Ibu Bersalin (BIB) sebanyak RM450 akan diproses dalam tempoh 1 minggu berbanding dua hingga tiga bulan sebelum ini.
Sejak dilancar pada 2019, EFS telah memberi manfaat kepada 141,869 anak Sarawak dengan peruntukan keseluruhan RM141.8 juta, manakala 22,895 kelahiran direkodkan pada 2025 setakat Oktober.
“Melalui EFS 2.0, setiap anak Sarawak menerima RM1,000 dalam bentuk simpanan deposit, pelaburan emas serta perlindungan takaful percuma bagi tahun pertama,” ujarnya dalam sidang media selepas Mesyuarat Endowment Sarawak di Bangunan Baitulmakmur 2 di sini pada Khamis.
Beliau turut memaklumkan bahawa Affin Bank, selaku pengurus baharu bagi tempoh 2025–2029, telah membuka sebanyak 6,287 akaun setakat 17 November.
Permohonan EFS yang diterima melalui Bank Islam dan Affin Bank ialah RM19,458 iaitu bersamaan dengan 85 peratus.
“KPI kita yang mesti atas 80 peratus, sekaligus menunjukkan pencapaian tersebut melepasi KPI kerana yang telah memohon ialah 85 peratus,” tambah beliau.
Katanya, kerajaan yakin usaha pendigitalan penuh ini akan memudahkan rakyat termasuk di kawasan pedalaman, selain memastikan lebih ramai anak Sarawak menerima manfaat EFS dan BIB dengan lebih cepat dan efisien.-EDISI UKAS