Generasi Muda Perlu Kuasai Teknologi Untuk Masa Depan
SIMUNJAN: Generasi muda perlu menguasai teknologi untuk masa depan susulan perkembangan pesat revolusi digital yang semakin mengubah landskap dunia, sekali gus menuntut persediaan awal pelajar untuk menguasai kemahiran teknologi sebagai peneraju masa depan.
Menurut Ahli Parlimen Batang Sadong Rodiyah Sapiee, Sarawak kini terus memperkukuh kedudukan sebagai negeri yang maju dalam teknologi menerusi pembangunan ekonomi digital, hidrogen hijau serta inovasi kecerdasan buatan (AI), termasuk kejayaan membangunkan KETEQ AI, peranti penukar kuasa berasaskan AI pertama di dunia.
Beliau menyifatkan pencapaian tersebut sebagai bukti kemampuan anak Sarawak bersaing di peringkat global.
“KETEQ AI adalah bukti bahawa anak Sarawak mampu menghasilkan teknologi bertaraf dunia. Ini harus menjadi inspirasi kepada semua pelajar untuk berani mencipta dan menerokai bidang baharu,” katanya ketika merasmikan Program Sains, Teknologi Dan Inovasi (STI) Madani 2025 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sri Sadong pada Jumaat.
Beliau menegaskan bahawa perubahan teknologi global berlaku dengan pantas dan generasi muda perlu menguasai kemahiran digital bagi memastikan mereka berada di hadapan serta tidak ketinggalan dalam arus perkembangan tersebut.
Justeru, Rodiyah mahu pelajar Batang Sadong memanfaatkan peluang yang ditawarkan era digital demi meningkatkan kebolehpasaran dan persediaan kerjaya masa depan.
Beliau turut menjelaskan bahawa perkembangan AI dijangka memberi kesan besar terhadap landskap pekerjaan, khususnya dalam bidang perubatan, kejuruteraan dan industri berkemahiran tinggi.
Katanya, banyak peluang kerjaya baharu bakal diwujudkan, dan pelajar digalakkan melengkapkan diri dengan kemahiran yang sesuai untuk merebut peluang tersebut.
Dalam masa yang sama, isu disiplin pelajar turut diberi perhatian dan beliau memuji SMK Sri Sadong kerana kekal bebas daripada rekod jenayah remaja, namun mengingatkan agar pelajar tidak menyebarkan kandungan berkaitan buli.
Beliau menekankan kepentingan melaporkan sebarang insiden buli kepada pihak sekolah atau pihak berkuasa serta mencadangkan agar pendidikan anti-buli dilaksanakan secara berkala.
Ibu bapa, guru dan PIBG turut disaran meningkatkan literasi digital bagi memastikan keselamatan siber pelajar berada pada tahap terbaik, selari dengan tuntutan dunia digital masa kini, katanya lagi.
Program STI Madani yang berlangsung sejak 18 November melibatkan 100 pelajar, guru dan ibu bapa, sekali gus mencerminkan komitmen sekolah untuk memupuk kecintaan terhadap Sains, Teknologi dan Inovasi.
Aktiviti seperti penggunaan AI dan pertandingan Drone Challenge turut membantu merangsang kreativiti serta meningkatkan kemahiran teknologi pelajar.
Turut hadir ialah Pengetua SMK Sri Sadong Abang Jamali Abang Tar, Yang Dipertua PIBG Abang Kamarul Ariffin Abang Masra, Timbalan Ketua PBB Cawangan Simunjan Bojeng Ali, barisan Penolong Kanan, Ketua Bidang, guru-guru serta para ibu bapa dan pelajar SMK Sri Sadong.-EDISI UKAS