Skim Bantuan Pendidikan Tanjong Datu Dijangka Terima Lebih Banyak Permohonan Tahun Hadapan
LUNDU: Skim bantuan pendidikan Tanjong Datu dijangka menerima lebih banyak permohonan tahun hadapan susulan jangkaan peningkatan keputusan cemerlang dalam peperiksaan SPM dan STPM 2025.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Datu, Azizul Annuar Adenan, berkata lebih ramai pelajar dijangka memohon bantuan kemasukan ke Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) berikutan peningkatan prestasi akademik yang diramalkan.
“Skim bantuan pendidikan yang disediakan setiap tahun oleh Pusat Khidmat N3 Tanjong Datu merupakan komitmen berterusan bagi memastikan pelajar tempatan dapat melanjutkan pengajian tanpa terbeban dengan kos persediaan awal, termasuk pembelian barangan keperluan, pendaftaran dan persiapan ke Politeknik, IPTA dan IPTS,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menghadiri Program Solat Hajat Pelajar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) yang berlangsung di Masjid Pehin Sri Haji Adenan Satem, di sini, pada Khamis.
Program tersebut menghimpunkan seramai 230 peserta yang terdiri daripada para guru, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Lundu, Persatuan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) Cawangan Lundu, Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) N3 Tanjong Datu serta Ketua-Ketua Kaum dan Ketua Masyarakat (KMKK) Daerah Lundu.-EDISI UKAS