MIRI: Majlis Bandaraya Miri (MBM) komited dalam memastikan kebersihan dan kelestarian bandaraya tersebut terus terpelihara melalui pemerkasaan semula kempen ‘No Plastic Bag’.
Ke arah itu, Datuk Bandar Bandaraya Miri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pujut, Adam Yii Siew Sang mahu semua pengendali pasar raya melaksanakan kempen tanpa plastik secara lebih konsisten kerana keberhasilannya bergantung kepada kerjasama industri dan sokongan masyarakat.
“Objektif kami bukan wang tetapi memastikan Miri bersih, hijau dan mampan,” katanya dalam sesi temubual selepas mesyuarat Penuh MBM bagi November 2025 di Dewan Bandaraya Miri pada Jumaat.
Menurutnya, pencemaran plastik khususnya plastik guna tunggal masih menjadi cabaran besar yang menjejaskan sistem saliran, kebersihan bandar serta ekosistem marin, sekali gus menuntut tindakan lebih tegas dan konsisten.
Adam turut menjelaskan bahawa MBM tidak lagi menerima sebarang bahagian daripada kutipan caj 20 sen bagi beg plastik sejak 2018.
Sebaliknya, caj tersebut kini sepenuhnya ditentukan dan diuruskan oleh pihak pasar raya tanpa melibatkan Majlis.
Sehubungan itu, beliau menyeru masyarakat untuk menjadikan amalan membawa beg sendiri ketika membeli-belah sebagai sokongan kepada usaha menjadikan Miri sebuah bandaraya bebas plastik dan lebih mampan.-EDISI UKAS