Hidupkan Semula Seni & Tradisi Masyarakat Orang Ulu Sebagai Identiti Masyarakat
BELAGA: Komuniti Orang Ulu Diseru untuk menghidupkan semula serta mempertahankan seni dan tradisi masyarakat sebagai identiti mereka kepada dunia luar.
Ahli Dewan Negara, Senator Michael Mujah Lihan berkata, seni dan tradisi seperti ukiran, tarian, muzik sape, adat serta nilai turun-temurun yang lain merupakan amanah untuk generasi akan datang yang harus dipertahankan.
Menurutnya, setiap persembahan dan seni yang ditampilkan membawa mesej jelas bahawa warisan Orang Ulu akan terus hidup dan berkembang.
Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Majlis Malam Sembang Santai 2025, di sini, pada Rabu.
Menyentuh perpaduan komuniti, beliau menegaskan bahawa Sungai Asap adalah rumah besar kepada pelbagai sub-etnik Orang Ulu seperti Kenyah, Kayan, Kajang dan Penan.
Kepelbagaian itu, katanya, adalah kekuatan utama yang menyatukan komuniti melalui nilai dan akar budaya yang sama.
Dalam majlis yang sama, Senator Michael Mujah telah mengumumkan bantuan kewangan kepada Kelab Kebudayaan Sungai Asap berjumlah RM14,000, manakala RM10,000 lagi dijadualkan untuk diagihkan pada tahun hadapan.
Selain itu, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Uma Bawang menerima bantuan sebanyak RM10,000, JKKK Uma Nyaving pula RM6,000 dan KRT Uma Bawang menerima RM2,000.
Hadir sama, Pegawai Tadbir Menguasa Pejabat Daerah Kecil Sungai Asap Sylvester George. -EDISI UKAS