62 Graduan Pelita Mas Laut Sedia Galas Peranan dalam Industri Maritim Negara
SIBU: Seramai 62 peserta daripada kursus persediaan kejuruteraan marin serta kursus asas rating dek dan enjin anjuran Pelita Mas Laut Sdn. Bhd. berjaya menamatkan latihan dan kini bersedia menyertai industri maritim negara.
Majlis tamat kursus dan penyampaian sijil disempurnakan Pengarah Laut Wilayah Sarawak, Jabatan Laut Malaysia, Bianus Muyou, yang berlangsung di Kompleks Islam Sarawak, Sibu pada Sabtu.
Dalam ucapannya, Bianus menegaskan bahawa pelaut memainkan peranan penting sebagai tunjang sektor maritim memandangkan lebih 90 peratus dagangan global bergantung kepada pengangkutan laut.
Beliau turut mengingatkan graduan agar sentiasa mengutamakan aspek keselamatan, mematuhi peraturan, meningkatkan kemahiran seiring perkembangan teknologi serta mengamalkan kerjasama berpasukan ketika bertugas di atas kapal.
Beliau turut berkongsi pengumuman oleh Timbalan Menteri Pengangkutan Malaysia sempena Sambutan Hari Pelaut dan Rumah Api Kebangsaan pada 8 November lalu, termasuk pengenalan gaji minimum baharu bagi pelaut yang dijangka diumumkan tahun hadapan.
Selain itu, Bianus memaklumkan pengurangan tempoh latihan perkhidmatan laut bagi kadet enjin daripada 12 bulan kepada enam bulan, bagi mempercepatkan perkembangan kerjaya pelaut muda tanpa menjejaskan standard kompetensi sedia ada.
Pada majlis berkenaan, sijil disampaikan kepada graduan daripada beberapa siri program termasuk Combine Chief and Second Engineer Officer Siri 06, Watchkeeping Engineer Siri 46, Marine Deck Apprentice Siri 44 dan Marine Engineering Rating Siri 31.
Bianus merakamkan ucapan tahniah kepada semua graduan atas kejayaan mereka, sambil menghargai komitmen tenaga pengajar Pelita Mas Laut yang membimbing peserta secara profesional sepanjang tempoh latihan mencabar dari aspek fizikal dan mental.-EDISI UKAS